Program Amaran Banjir: RM129 juta dibuang


Program Amaran Banjir: RM129 juta dibuang
KEJADIAN kepala air di Gunung Jerai, Yan, Kedah, tiga tahun lalu meragut enam nyawa dan menjejaskan ribuan rumah, premis dan chalet pelancongan yang mendorong kerajaan memasang sistem amaran di situ. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Oleh ARIF AIMAN ASROL
21 Mac 2024, 8:01 am


KUALA LUMPUR: Kos RM129 juta yang dibelanjakan kerajaan bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) Fasa 1 tidak berbaloi kerana gagal berfungsi de­ngan berkesan.

Program tersebut didapati tidak 100 peratus tepat dalam ketetapan aras air banjir dan ramalan berhubung bila serta di mana berlakunya bencana itu yang dikenali sebagai HIT.

Ia dilaksanakan di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini dikenali sebagai Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.

Dapatan itu dibentangkan selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengadakan prosiding pada 16 Januari lalu dengan memanggil tiga saksi.

Mereka ialah Ketua Setia­usaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dr. Ching Thoo A/L Kim; Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ahmad Anuar Othman dan Pengarah Kanan Jabatan Meteorologi Malaysia. Dr. Fariza Yunus.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, walaupun jumlah keseluruhan Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) telah dibayar melalui pemotongan bayaran kemajuan kontraktor, kelewatan bagi pemasangan sistem PRAB tidak sepatutnya berlaku kerana ia menjejaskan kehidupan sosial serta ekonomi rakyat yang terkesan dengan banjir.


“Dalam prosiding yang diadakan, PAC dimaklumkan bahawa anggaran jumlah yang diperuntukkan bagi pembangunan PRAB Fasa 1, 2 dan Fasa 3 adalah RM1.065 bilion. Atas sebab itu, PAC mahu baki pembangunan bagi PRAB Fasa 2 dan 3 disiapkan mengikut masa, kos, kualiti serta peruntukan ditetapkan.

“Ia sekali gus merealisasikan matlamat PRAB iaitu menyediakan perkhidmatan ramalan dan amaran banjir yang efektif dan berkesan kepada orang awam,” katanya semalam.

Utusan Malaysia pernah melaporkan sistem amaran awal bencana (EWS) di negara ini lemah dan gagal mengesan bencana lebih awal seperti banjir besar yang berlaku sekarang dan semasa tsunami banjir pada 2014.

Mas Ermieyati berkata, PAC dimaklumkan bahawa anggaran jumlah yang diperuntukkan bagi Pembangunan PRAB Fasa 1, 2 dan Fasa 3 adalah RM1.065 bilion.

Justeru, beliau menegaskan, PAC mahu baki pembangunan bagi PRAB Fasa 2 dan 3 disiapkan mengikut masa, kos, kualiti serta peruntukan yang ditetapkan.

Menurut beliau, berdasarkan prosiding yang diadakan, PAC Parlimen membuat tujuh rumusan antaranya berhubung kelemahan dalam pengurusan projek hingga menyebabkan kelewatan kerja di Lembaga Sungai Kelantan dan Terengganu sebanyak 1,829 hari.

Katanya, kerja-kerja di Lembangan Sungai Pahang pula mengalami kelewatan sebanyak 1,836 hari.

“Selain itu penaiktarafan rangkaian 3G ke 4G di bawah Program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) menyebabkan berlaku masalah penghantaran data dari stesen ke gateway yang tergantung melebihi tempoh tiga bulan berturut-turut kerana kontrak PRAB yang menggunakan rangkaian semasa iaitu 2G atau 3G.

“Malah, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui JPS telah menaik taraf Remote Terminal Unit (RTU) menggunakan liputan komunikasi 4G di 39 stesen daripada 118 stesen bagi menangani isu kelewatan penerimaan data dan isu data tidak diterima.

“Kos PRAB Fasa 2 yang asalnya berjumlah RM385 juta meningkat kepada RM522 juta berikutan penambahan sistem siren, kamera web dan Program Communication, Educational and Public Awareness (CEPA),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kelemahan kontrak PRAB yang tidak memasukkan klausa ‘kenaan denda’ mengakibatkan penyelenggaraan pencegahan tidak dilaksanakan.

“Walaupun PRAB Fasa 1 menelan belanja RM129 juta, ia masih tidak efektif dari segi hebahan amaran banjir kepada masyarakat memandangkan medium digunakan sebagai hebahan tidak selaras dengan peredaran masa yang memerlukan penyaluran maklumat lebih pantas seperti Commercial Mobile Alert System (CMAS).

“Pencapaian ketepatan Ramalan Amaran Banjir mengikut kawasan atau ‘HIT’ yang rendah iaitu 5.6 peratus adalah tidak mencapai sasaran sebagaimana dikehendaki di dalam PRAB yang memakan belanja RM129 juta,” katanya. – UTUSAN

Ulasan