Rakyat mahu lihat kerajaan bertanggungjawab, bukan hanya berteori


Rakyat mahu lihat kerajaan bertanggungjawab, bukan hanya berteori
March 7, 2024

KUALA LUMPUR: Rakyat mahu melihat kerajaan melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan 33 juta rakyat, bukan hanya berteori semata-mata.

Ketua Whip PERIKATAN NASIONAL, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rakyat tidak berminat lagi untuk mendengar teori daripada pihak kerajaan kerana bukan lagi menjadi pembangkang yang memberikan idea-idea yang ideal tetapi tidak dapat dilaksanakan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada sesi perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

“Sedar ataupun tidak tetapi saya pasti rakyat kita sedar kerajaan yang ada sekarang ini sudah pun menjadi kerajaan di dalam negara ini selama satu tahun empat bulan iaitu setelah ditubuhkan pada 24 November tahun 2022 yang lalu.

“Kerajaan sekarang ini dipimpin oleh orang ataupun orang-orang yang telah mencanangkan sejak sekian lama dia boleh mengubah negara dalam tempoh 24 jam, istilahnya hari ini dan juga istilah kemudiannya besok menjadi ratiban kepada seluruh rakyat dalam negara kita ini dengan slogan mereka Save Malaysia.

“Namun demikian walaupun setelah 25 tahun mereka bereformasi, memberikan pelbagai cadangan dan formula yang mempesonakan, namun sekarang ini kita melihat seolah-olahnya, kebanyakan cadangan dan formula yang dulu tidak dapat diaplikasikan setelah mereka menjadi kerajaan di dalam negara kita ini ataupun ia hanya cakap tak serupa bikin, no action talk only,” kata beliau.

Menurutnya, seorang Ahli Parlimen yang ditemubual oleh sebuah syarikat berita ditanyakan berkenaan apa yang terjadi kepada kerajaan selepas satu tahun.

“Beliau berkata berkerajaan ini macam kita buat rumah. Tahun pertama kita buat rumah belum lagi siap. Kena tunggu tiga ataupun empat tahun ataupun lebih daripada itu barulah rumah kita itu sempurna dan boleh memberi manfaat kepada tuan rumah, keluarga dan juga orang lain.

“Jadi apakah ini bermakna bagi pihak rakan-rakan kita di pihak backbenchers yang saya tidak berjumpa lebih daripada satu orang rakan-rakan backbenchers yang memberikan kritikan yang sepatutnya kepada kerajaan melainkan memuji, memuji dan terus memuji, seolah-olah tidak ada masalah di dalam kerajaan yang memerintah kita pada hari ini. Tak apalah. Itu tugas mereka sebagai backbenchers,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

Ulasan