Ramadan bukan bulan untuk pembazir, pengotor




Ramadan bukan bulan untuk pembazir, pengotor
Oleh Aznan Bakar
10 Mac 2024, 7:15 am

KALAU dipanjangkan umur, esok atau lusa kita sekali lagi akan bertembung dengan Ramadan, bulan suci Islam yang menuntut setiap daripada kita menumpukan kepada amalan dan kebaikan.

Ramadan menuntut kita melakukan yang terbaik dalam kehidupan kita. Sama ada daripada segi amal ibadat mahupun tindak-tanduk dalam aktiviti seharian.


Ia sepatutnya menjadi bulan untuk kita berjimat cermat terutama ketika kos hidup dikatakan meningkat ekoran kelemahan nilai ringgit dan pelaksanaan kadar baharu cukai.

Untuk itu kita harapkan pada Ramadan ini tidak berlaku pembaziran seperti mana yang kita lihat saban tahun sebelum ini. Kalau berkunjung ke bazar-bazar, beli yang perlu dan cukup-cukup untuk makan sahaja. Jangan berlebih-lebihan sampai membazir.

Kita harap umat Islam di negara ini juga insaf dengan saudara seagama di Gaza, Palestin yang menyambut Ramadan tanpa kediaman dan makanan.

Tidak guna kita berteriak membela Gaza, tetapi di sini makanan kita buang begitu sahaja sebab tidak habis dimakan. Pada tahun lalu, umat Islam di negara membuang hampir 100,000 tan makanan. Sikap kita yang membazir itu langsung tidak mencerminkan kesucian bulan Ramadan. Jika, setiap daripada umat Islam di negara ini benar-benar menghayati kesucian Ramadan pembaziran seperti itu tidak berlaku.

Begitu juga dengan kebersihan. Kenapa apabila masuk sahaja bulan Ramadan kita jadi pengotor? Buktinya apabila sisa pepejal yang diangkut pada bulan Ramadan jauh lebih tinggi dari bulan biasa. Pada bulan puasa tahun lepas sebanyak 250,000 sisa pepejal dikutip. Ini termasuk makanan yang dibuang.

Di bazar-bazar kita boleh lihat sampah-sarap ditinggalkan selepas habis berniaga. Ini bukan sahaja menyakitkan mata memandang tetapi juga mencemarkan alam sekitar. Adakah Islam mengajar kita menjadi pengotor dan mencemarkan persekitaran yang kita huni dan cari rezeki.

Begitu juga tempat-tempat awam yang menjadi pilihan untuk berbuka puasa. Selepas habis makan, bekas-bekas makanan dan minuman ditinggalkan bersepah-sepah hingga menjijikkan persekitaran yang cantik dan bersih.

Begitu juga di masjid. Ada masjid yang menyediakan juadah berbuka kepada musafir, tetapi malangnya ada segelintir yang tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan bekas makanan merata-rata. Malah ada yang menyelit sampah sarap itu di celah-celah tiang atau rimbunan pokok hiasan.

Bulan suci ini sepatutnya mengajar kita lebih menghargai nikmat makanan tanpa membazirkannya dan nikmat kelestarian alam tanpa mencemarkannya dengan sampah dan sisa makanan.

Bagi yang suka berbuka puasa di tempat-tempat awam seperti padang dan sebagainya, bawalah plastik sampah. Segala bekas dan sisa kumpul masuk dalam plastik dan dibawa balik atau buang dalam tong yang disediakan.

Tunjuklah akhlak Islam yang sebenar ketika di bulan Ramadan ini. Bukan sahaja Allah dan para malaikat-Nya akan menilai segala amalan baik dan buruk kita, masyarakat terutama yang bukan Islam turut memerhatikan tingkah laku kita. Jadi, inilah masa untuk kita menonjolkan aspek Islam yang paling baik. Ingatkan Ramadan bulan untuk pembazir dan pengotor. – UTUSAN

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Ulasan