RM717j nilai sawit dibuang sebulan
KEKURANGAN guna tenaga buruh bukan isu baharu bagi sektor perladangan sawit negara berikutan kurangnya penyertaan pekerja tempatan, kebergantungan kepada pekerja asing dan amalan mekanisasi yang rendah.
Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
14 Mac 2024, 7:55 am
KUANTAN: Dianggarkan sejumlah RM717 juta nilai buah tandan segar sawit tidak dituai sebulan ekoran kekurangan 40,000 tenaga kerja dalam sektor perladangan komoditi itu.
Daripada jumlah kekurangan pekerja tersebut, 55 peratus atau 22,000 orang adalah penuai dan pemungut buah sawit.
Ketiadaan mereka menyebabkan buah sawit lerai dan luruh serta membusuk di pokok disebabkan jadual tuaian buah terganggu.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia memaklumkan, mengambil kira purata produktiviti harian penuai dan pemungut iaitu sebanyak 1.5 tan metrik, anggaran jumlah BTS yang tidak dapat dituai adalah 32,800 tan metrik sehari.
“Anggaran kerugian sehari iaitu nilai minyak sawit mentah (CPO) dan minyak isirung sawit mentah (CPKO) yang mampu diperoleh daripada 32,800 tan metrik BTS adalah RM27.58 juta (mengambil kira jumlah dan harga kedua-dua produk).
“Dengan purata bilangan hari bekerja iaitu 26 hari sebulan, jumlah kerugian sebulan dianggarkan sebanyak RM717 juta,” kata agensi terbabit di sini semalam.
Pada 28 Februari lalu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, lebihan buruh asing yang dibawa masuk ke negara ini untuk sektor pengilangan dan perkhidmatan perlu segera digerakkan untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam perladangan komoditi.
Beliau berkata, ini kerana Industri sawit negara menanggung kerugian nilai eksport sebanyak RM7.9 bilion setahun susulan kekurangan hampir 40,000 tenaga kerja dalam sektor perladangan komoditi itu.
Menurut MPOB, kekurangan guna tenaga buruh bukan isu baharu bagi sektor perladangan sawit negara berikutan kurangnya penyertaan pekerja tempatan, kebergantungan kepada pekerja asing dan amalan mekanisasi yang rendah terutama untuk aktiviti penuaian BTS.
Katanya, jumlah guna tenaga di sektor perladangan sawit dianggarkan 440,000 orang dengan majoriti pekerja asing iaitu seramai 338,000 orang atau 76.8 peratus.
“Jumlah guna tenaga ini tidak mencukupi dan sektor estet masih memerlukan sekitar 40,000 orang, majoritinya adalah untuk aktiviti penuaian dan pemungutan BTS,” katanya.
Bagi pekerja tempatan, agensi itu berkata, berdasarkan data MPOB pada Januari lalu, jumlah penuai dan pemungut BTS tempatan dianggarkan sekitar 9,000 orang.
“Secara keseluruhannya, bilangan pekerja tempatan menunjukkan trend yang stabil dan tidak banyak berubah setiap bulan,” katanya.
MPOB menjelaskan, kerajaan giat merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan tenaga kerja tempatan termasuk golongan belia menceburi pekerjaan dalam sektor perladangan sawit serta menggalakkan industri untuk beralih kepada penggunaan mekanisasi dan automasi yang dapat mewujudkan permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi.
“Kerajaan melalui MPOB telah mengambil insiatif dengan menubuhkan Pusat Latihan Sawit Malaysia (Plasma) sebagai tempat latihan berpusat dengan mengadakan program Kursus Operasi Kemahiran Ladang kepada warga belia tempatan. Program yang dijalankan adalah terbuka kepada semua belia tempatan dan diajar secara hands on tentang aspek mekanisasi ladang yang menjurus kepada melahirkan tenaga kerja yang cekap dan berpengetahuan,” katanya.
Menurut MPOB, inisiatif lain yang sudah dibangunkan oleh kerajaan bersama-sama industri perladangan sawit negara adalah penubuhan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) yang memberi tumpuan kepada teknologi mekanisasi dan automasi terkini dalam kerangka Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
“Peruntukan MARCOP disalurkan melalui Ses sebanyak RM30 juta dan geran padanan kerajaan RM30 juta. MARCOP dianggotai oleh agensi kerajaan, wakil industri dan ahli akademik. Tujuan MARCOP adalah mencari penyelesaian terhadap kebergantungan yang tinggi terhadap buruh asing dengan menerapkan teknologi terkini dalam aktiviti perladangan.
“Melalui MARCOP, kerajaan memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan serta penerapan teknologi mekanisasi bagi memastikan industri sawit negara kekal relevan dan berdaya saing,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan