Royalti petroleum: Kenapa Terengganu baru sekarang ‘bising’?



Royalti petroleum: Kenapa Terengganu baru sekarang ‘bising’?
March 14, 2024


KUALA TERENGGANU: Selepas kemunculan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam audiosiar Keluar Sekejap semalam (13 Mac) dan beriltizam akan mempertahankan hak rakyat Terengganu berkenaan Royalti/Dana Khas yang tidak diterima daripada Kerajaan Madani, muncul pula komen yang tidak menyenangkan.

Dalam kenyataannya pada hari ini (14 Mac), PAS Terengganu yang merujuk kepada paparan Facebook@Khairul Azri berkata, “Terbaca ada orang tinggalkan komentar kenapa kerajaan negeri Terengganu sebelum ini tak ‘bising’ perihal (tentang) royalti (wang ehsan/Dana Khas) ketika sebahagian daripada mereka menjadi daripada kerajaan pusat selama 33 bulan dahulu.”

“Tak pasti yang tinggalkan komen itu memang tidak tahu atau buat-buat tak tahu yang tidak ada keperluan untuk kerajaan negeri Terengganu ‘bising’ pun kalau mereka memang telah dapat Dana Khas berkenaan.”

“Tak percaya cuba semak Laporan Ketua Audit Negara – Penyata Kewangan Negeri Terengganu – Penyumbang Hasil Utama Kerajaan Negeri Terangganu dari tahun ke tahun,” katanya sambil memaparkan senarai berikut:-

Zaman Najib Barisan Nasional (BN):

2009 – RM1.21 bilion

2010 – RM1.6 bilion

2011 – RM1.95 bilion

2012 – RM2.345 bilion

2013 – RM2.34 bilion

2014 – RM2.22 bilion

2015 – RM1.55 Bilion

2016 – RM1.05 bilion

2017 – RM1.44 bilion

2018 – RM1.15 bilion

Zaman Mahathir Pakatan Harapan (PH):

2018 – RM1.15 bilion

2019 – RM1.7 bilion

Zaman Muhyiddin Pakatan Nasional (PN):

2020 PN dpt RM1.03 bilion

Zaman Ismail Sabri BN-PN:

2021 – RM1.28 bilion

2022 – RM1.39 bilion

Zaman Anwar PH-BN (Madani)

2023 – RM510 juta (janji dalam Bajet 2023 oleh Ismail Sabri RM1.524 bilion)

Sehubungan itu, tambah kenyataan itu, “Maka jangan lah nak ‘spin’ 33 bulan tak bising atau kecoh pasal ‘royalti’ sebab memang dah dapat sejak 2009 lagi.

“Datuk Seri Najib Razak yang dipanggil ‘zalim’ boleh bagi (royalti), Tun Mahathir Mohamad yang kena tuduh sebagai ‘Firaun’ bagi (bagi balik akhirnya), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kena ejek ‘bendera putih’ pun bagi, Datuk Seri Ismail Sabri yang kena panggil ‘penyu’ pun bagi.

“Kenapa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang paling kuat bercerita perihal kebajikan rakyat susah sangat nak bagi? Sedangkan masa tak berkuasa, Najib bagi RM2 Bilion lebih pun dia masih bising kata tak cukup. Paling beria perihal royalti Terengganu.

“Siap janji nak bagi sampai 20 peratus. Tapi bila dah dapat kuasa 500 juta saja, itu pun jenuh rayu,” ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 14/3/2024.

Ulasan