Sanusi dakwa ada pihak halang penghasilan Beras Kedah

Sanusi dakwa ada pihak halang penghasilan Beras Kedah
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Mac 5, 2024 @ 1:00pm

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa ada pihak tertentu yang cuba menghalang usaha negeri itu untuk mengeluarkan Beras Kedah.

Beliau mendakwa selepas mengumumkan hasrat untuk mengeluarkan beras yang lebih murah daripada harga pasaran, terdapat usaha dibuat agar tiada pihak yang menjual beras kepada Kedah.

"Sebelum ini negara mengalami kecelaruan dalam industri beras tempatan. Disebabkan itu, Kedah selaku negeri pengeluar beras (mahu hasilkan beras sendiri) tetapi tak dibenarkan kawal pengeluaran dan pemasaran hasil padi.

"Apabila kita uarkan mahu keluarkan Beras Kedah, ada respon (diterima) supaya tidak ada pihak jual beras kepada Kedah," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Najmi Ahmad (PN-Kupang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Najmi bertanyakan mengenai perancangan negeri dalam menjamin bekalan makanan bagi menghadapi kemungkinan krisis makanan global akan datang.

Muhammad Sanusi, berkata sekatan seperti ini harus dinoktahkan kerana ia menggambarkan politik kuno diamalkan di negara ini.


Katanya, walaupun industri beras dikawal sepenuhnya oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kedah bersedia memberikan kerjasama sewajarnya dalam merealisasikan penghasilan Beras Kedah.

"Saya yakin Jabatan Pertanian dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dapat berurusan, biarpun dari segi politik tidak seperti diharapkan. Masih ada politik kuno diamalkan untuk mengasingkan kerajaan negeri dengan agensi Persekutuan.

"Saya perlu buat teguran terbuka di dewan yang mulia ini," katanya.

Muhammad Sanusi berharap semua jabatan dan agensi di Kedah dapat menjalin kerjasama erat untuk berhadapan cabaran krisis makanan pada masa akan datang.

"Jangan ada agensi cuba asingkan Kedah daripada aktiviti atau perancangan kementerian.

Malah beliau difahamkan, ada arahan lisan dari pihak agensi Persekutuan untuk kurangkan kerjasama dengan negeri.

"Saya bagi jaminan Kedah bersikap terbuka dan alukan kerjasama dari agensi Pusat untuk pastikan kebimbangan makanan yang meruncing dapat diatasi," katanya.

Pada 18 Februari lalu, Muhammad Sanusi mengumumkan kerajaan negeri merancang mengeluarkan produk Beras Kedah pada harga lebih murah berbanding harga pasaran ketika ini.

Kedah sedang merangka kaedah pengeluaran beras berkenaan bagi membolehkan rakyat negeri ini dapat membelinya pada harga lebih murah.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, punca berlakunya krisis beras antaranya disumbangkan oleh ketamakan pengusaha sektor makanan dan pertanian dan ia harus ditamatkan menerusi penguatkuasaan undang-undang kerajaan Persekutuan.

"Antaranya isu kartel padi terbongkar apabila ada serbuan terhadap pihak yang simpan padi di Kedah, harap isu kartel dapat diselesaikan untuk pastikan tiada lagi kebimbangan bekalan beras akan datang.

"Saya juga harap tiada sekatan (kepada Kedah) dalam agihan varieti padi berkualiti. Kita juga tak mahu menjadi pusat lambakan baja tidak berkualiti," katanya.

Ulasan