Skim gaji anggota polis perlu dinaikkan





Skim gaji anggota polis perlu dinaikkan
March 21, 2024

Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri digesa menaikkan elaun imbuhan tetap perumahan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini masih berjumlah RM300 sebulan.

Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata, anggota PDRM dengan bebanan tugas jaga keselamatan, turun operasi, lawan penjenayah, jaga negara, jaga keluarga, besarkan anak, membuat pendapatan tambahan untuk tampung sewa rumah.

“Macam kita naik kereta kancil tapi dipaksa tekan 180 kilometer perjam atas highway (lebuhraya). Kalau daripada Alor Setar ke Kuala Lumpur, boleh tercabut enjin relai semua skru, tinggal stereng saja.

“Maka elaun imbuhan tetap perumahan ini patut dinaikkan sesuai dengan kos sara hidup yang tinggi hari ini,” ujar beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Ustaz Afnan mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap dalam perbahasan Rang Undang-undang Polis (Pindaan) 2024 peringkat dasar di Dewan Rakyat, di sini, sebentar tadi.

Menurutnya, penerimaan imbuhan serta penambahan gaji anggota PDRM perlu dilihat walaupun kerajaan mahu menaikkan jumlah denda dengan tujuan memberi kesedaran kepada pesalah.

“Beban tugas itu kita tambah sewajarnya gaji mereka juga kita tambah, barulah padan dengan tugas mereka. Anggota PDRM menjalankan tugas yang sangat berisiko memerlukan pengorbanan, kudrat dan juga waktu.

“Saya difahamkan tidak ada elaun kerja lebih masa. Hanya dibayar gaji mengikut waktu asas bekerja lapan jam sehari. Bayangkan, kalaulah mereka hanya bertugas lapan jam sahaja sehari, apa jadi dengan keselamatan negara kita?

“Apa jadi dengan ketenteraman masyarakat kita? Tapi tidak, walaupun mereka hanya dibayar bertugas lapan jam sehari, mereka bertugas 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu tanpa henti demi untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman kita,” ujar beliau.

Tambahnya, mengikut maklumat yang ada, gaji untuk pangkat Sarjan dan ke bawah adalah sangat rendah dan tidak mampu menampung kos sara hidup semakin mahal terutama bagi bandar-bandar besar.

“Saya ada baca sebuah akhbar tempatan, Tan Sri Ketua Polis Negara ada sebut tangga gaji permulaan anggota polis berpangkat konstabel di bawah paras gaji minimum RM1,441 macam yang disebut oleh YB Pendang tadi.

“Di bawah skim perkhidmatan PDRM ada tiga. Skim perkhidmatan Konstabel permulaan gaji RM1,441. Skim perkhidmatan jawatan Konstabel Orang Asli RM1,334. Skim perkhidmatan Konstabel sokongan RM1,220.

“Semua ketiga-tiga skim ini berada di paras di bawah paras gaji minimum. Gaji minima pun dah tak dapat tampung kos sara hidup hari ini, apatah lagi kalau gaji yang mereka terima lebih rendah daripada itu,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 21/3/2024

Ulasan