SST 8%: Kelemahan Kerajaan Madani

SST 8%: Kelemahan Kerajaan Madani
March 5, 2024

Rafiique Rasyid

KUALA LUMPUR: “Sudah jatuh, ditimpa tangga, rata-rata masyarakat pelbagai lapisan mula melihat dan mengkritik penguatkuasaan kenaikan cukai dan perkhidmatan (SST) kepada 8 peratus yang baru berusia 4 hari.”

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid berkata, Kerajaan Madani tidak boleh lari daripada menerima kritikan tersebut.



“Sementelah, Kerajaan Madani diketuai oleh Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi dari parti yang sama yang pada suatu ketika dulu gah di atas pentas pilihan raya menabur pelbagai janji sebagai penyelamat kesengsaraan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, punca utama kegagalan Kerajaan Madani berhubung isu SST sebenarnya lahir daripada keengganan kerajaan itu sendiri untuk bersikap telus dengan rakyat.

“Tiada cukai atau kadar boleh dilevikan oleh atau bagi maksud Persekutuan kecuali melalui atau di bawah kuasa undang-undang Persekutuan.

“Ini terletak dalam Perkara 96 Perlembagaan Persekutuan, Bahagian VII Bab 1. Maknanya, SST hanya boleh dilaksanakan melalui Persekutuan atau Kerajaan Pusat dan melalui undang-undang.

“Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) pula dirangka untuk cukai perkhidmatan, mulanya 6%, sekarang kita tahu ia 8%.

“Namun, ada Seksyen 91 Akta 807…ini yang menarik. Menteri yang menjaga kewangan boleh membuat peraturan-peraturan. Ini dibenar melalui Akta 807,” jelas beliau.

Bellia berkata, di sinilah dikatakan kerajaan tidak telus, mamandangkan peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024 yang berkuatkuasa mulai 26 Februari 2024 hanya 4 hari sebelum SST 8% bermula pada Jumaat lalu (1 Mac).

“Peraturan-peraturan ini telah memperluas penguatkuasaan cukai SST 8% ini ke atas beberapa perkhidmatan dan/atau perkhidmatan pembaikan termasuk pengurusan penyelenggaraan, penyelenggaraan pembetulan, penyelenggaraan pencegahan, penentukuran, penyesuaian, pemulihan semula, susun semula dan baik pulih; walaupun ia tidak termasuk pengurusan penyelenggaraan berkaitan tanah, bangunan kediaman dan pemaju, badan pengurusan bersama, perbadanan pengurusan atau persatuan kediaman, atau perkhidmatan pembaikan bagi bangunan kediaman,” tegasnya.

“Tetapi pada masa sama,ia diperluas pula untuk perkhidmatan logistik, penggudangan, penghantaran fret, atau perkhidmatan kemudahan rantaian sejuk, dan secara asasnya penghantaran, pengedaran atau pengangkutan barang atau perkhidmatan kiriman cepat, “ tambah Rafique.

Kegagalan Kerajaan Madani untuk melakukan perkara ini lebih awal, ujar beliau, sudah tentu menimbulkan pelbagai komplikasi.

“Bukan sahaja pada peniaga tetapi pelanggan (rakyat dan ‘end-user’). Tanpa amaran awal atau libat urus agensi-agensi dan pemegang taruh berkenaan, ia telah membawa kepada kegusaran dalam kalangan rakyat.

“Segala macam perkhidmatan pembaikan dan baik pulih ini nampaknya akan terkesan. Dari sekecil-kecil telefon, laptop ke peti sejuk dan penghawa dingin. Ini semua asas kepada Rakyat yang natijahnya rata-rata, kalau tidak semua, sedang berhadapan dengan keadaan ekonomi tidak menentu,” hujahnya.

Rafique menegaskan lagi, seterusnya perluasan skop SST kepada perkhidmatan logistik juga bakal memberi impak.

“Apakah ada barang-barang yang tidak terlibat dalam pengangkutan atau logistik?

“Spillover effect. Kesan terhadap keseluruhan rantaian pembekalan (impact on whole supply chain).

“Kita tidak tahu impaknya lagi. Mungkin belum lagi. Baru 4 hari (SST 8% dikuatkuasakan) tetapi dengan permulaan Ramadan tahun ini dan ditambah pula musim persekolahan 2024/2025 yang menjelang ia bakal membawa kerumitan buat orang ramai,”

Justeru, beliau berkata: “Nampaknya kerajaan gagal melalui media arus perdana untuk ‘cushion impact’ pengenaan SST ini.

“Tiada penerangan asas-asas SST kepada masyarakat. Tiada juga kita lihat rakyat diberi penjelasan mengenai perkhidmatan-perkhidmatan yang diperluaskan skopnya di bawah peraturan-peraturan yang mula berkuatkuasa 26 Feb tahun ini.”

Beliau tidak menafikan kepentingan SST yang menurutnya, adalah kerana rakyat dan perniagaan juga yang akhirnya menjadi wakil dan agen pemungut cukai ini, yang kemudiannya diberikan kepada kerajaan.

“Maka, kerajaan pula kena pastikan pendapatan cukai tambahan ini digunapakai sebaik mungkin bagi kebajikan rakyat dengan subsidi bersasar, penjagaan masyarakat yang mula mencapai ageing population (populasi warga emas) serta perkhidmatan kesihatan dan lain-lain .

“Namun, kerajaan hari ini lebih galak menuding jari kepada pembangkang dengan menyatakan hanya pandai kritik tetapi tiada cadangan,” tegasnya.

Rafique lalu menyatakan cadangan beliau sambil membuat penegasan bahawa ia bukan sekadar suatu kritikan.

“Kerajaan yang belum jadi kerajaan seharusnya selepas ini tidak lagi perlu berjanji bulan dan bintang kepada rakyat. Cadangannya adalah supaya kerajaan berani dan telus dengan memaklumkan kepada rakyat perkara sebenar.

“Jangan takut, rakyat Malaysia akan faham. Lagipun pilihan raya lama lagi, boleh tabur formula dan janji manis waktu itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/3/2024

Ulasan