Tangani isu sensitif Islam dengan berkesan



Tangani isu sensitif Islam dengan berkesan
PENYEBARAN maklumat berkaitan Islam perlu digerakkan ke seluruh negara bagi mendidik masyarakat agar lebih menanam sikap hormat serta mengelak daripada berulangnya kemelut yang berlaku kini.
Oleh Meja Rencana
30 Mac 2024, 9:00 am

SAUDARA PENGARANG,

ISU kontroversi yang melibatkan sensitiviti umat Islam dalam isu berkaitan stoking yang tertera kalimah Allah sewajarnya tidak berlaku di era Malaysia Madani. Ini kerana pentadbiran Kerajaan Perpaduan telah menjelaskan secara tegas dan tuntas sebarang bentuk isu yang menyentuh 3R (agama, kaum dan raja) tidak diizinkan berlaku di dalam negara.

Bagi menyelesaikan kemelut yang telah menghantui pelbagai pihak, maka pihak berkuasa perlu menyiasat apa punca sebenar di sebalik penjualan stoking yang tertera kalimah Allah dan siapakah yang sebenarnya yang perlu diheret ke muka pengadilan.

Kedua, situasi ini memerlukan setiap umat Islam bertenang dan tidak bertindak melampaui batas undang-undang sehingga siasatan selesai. Ini bagi mengelak berlakunya sebarang bentuk keganasan di luar kawalan dan menyebabkan siasatan terganggu.

Peniaga perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap kecuaian yang telah berlaku. Bagi umat Islam pula perlu memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan lanjut walaupun sudah membuat permohonan maaf.

Ketiga, pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim perlu mempergiatkan program kesedaran masyarakat khususnya melibatkan masyarakat bukan Islam bagi menjelaskan perkara-perkara yang menjadi sensitiviti agama ini.


Penyebaran maklumat berkaitan Islam perlu digerakkan ke seluruh negara bagi mendidik masyarakat agar lebih menanam sikap hormat serta mengelak daripada berulangnya kemelut yang berlaku kini.

Keempat, pihak berkuasa perlu memastikan bahawa semua peniaga bukan Islam perlu mendapatkan sijil etika perniagaan daripada pihak berkuasa dan sijil ini perlu diperbaharui setiap tahun. Sijil ini boleh diperoleh melalui kursus jangka pendek dan menyentuh tentang etika perniagaan. Kursus ini boleh dikendalikan oleh pihak Jakim seperti sijil halal.

Kelima, peniaga bukan Islam yang beroperasi dalam skala besar perlu diwajibkan melantik pegawai pemasaran dalam kalangan Muslim bagi menyemak dan meluluskan sesuatu barangan jualan sebelum dijual kepada pengguna. Ini bagi memastikan kualiti barang memenuhi piawaian syariah serta tidak memberi kesan buruk terhadap sensitiviti umat Islam.

Keenam, peniaga bukan Islam perlu sentiasa melibatkan diri bersama NGO pengguna Islam bagi memperkukuhkan hubungan dan bertukar idea bagi memperbaiki kelemahan dan mengelak prejudis dalam kalangan pengguna Islam.
Malaysia perlu melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara yang dilihat mampu memberikan contoh baik kepada masyarakat dunia dengan sikap hormat yang tinggi dalam kalangan pelbagai kaum.

Ini mampu mengangkat maruah dan darjat rakyat Malaysia ke persada dunia. Sebarang bentuk ancaman yang mencabar keharmonian kaum perlu dibanteras segera.-UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI
Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Perlis.

Ulasan