Tangguh rasionalisasi subsidi petrol dan diesel, rakyat sedang terbeban - Muhyiddin
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi - Mac 5, 2024 @ 1:11pm
KUALA LUMPUR: Pembangkang menggesa kerajaan menangguh rancangan melaksana rasionalisasi subsidi petrol dan diesel, memandangkan rakyat ketika ini sedang berdepan kenaikan harga barang dan berbagai jenis cukai yang amat membebankan.
Tan Sri Muhyiddin Yasin (PN-Pagoh) yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, rancangan untuk memperluas program rasionalisasi subsidi ke atas produk berkenaan harus dikaji dengan teliti.
"Mungkin elok kerajaan tangguhkan dahulu rancangan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel buat sementara waktu. Saya faham beban fiskal yang ditanggung oleh negara kita akibat jumlah subsidi yang besar.
"Tetapi pada masa sama, adakah kita rela melihat rakyat menanggung sengsara dalam keadaan mereka sudah pun terbeban dengan pelbagai masalah yang berkaitan dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan cukai," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
DISYORKAN UNTUK ANDA
Muhyiddin berkata, sekiranya rancangan rasionalisasi subsidi ini dilaksanakan, pihaknya 100 peratus yakin semua barang dan perkhidmatan akan naik harga, lantas lebih ramai rakyat akan sengsara.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan nampaknya tidak mengambil kira secara holistik bebanan ditanggung rakyat dengan keputusan menaikkan kadar cukai dan lain-lain kenaikan yang berlaku mutakhir ini.
"Seolah-olah semuanya dilonggok ke atas rakyat tanpa ada strategi jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh.
"Adakah kerajaan tak faham kesan kenaikan cukai SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) terhadap keseluruhan rantaian bekalan yang akhirnya menyebabkan hampir semua barang naik harga dan kesannya ditanggung oleh rakyat jelata," katanya.
Menyentuh isu beras putih tempatan, Muhyiddin mempersoalkan tindakan kerajaan dalam mencari penyelesaian kepada isu bekalan beras putih tempatan yang berkurangan di pasaran dan didakwanya tidak pernah berlaku sebelum ini.
Justeru, katanya, kebimbangan utama PN ialah situasi ekonomi negara yang kian meruncing dan masalah kos sara hidup rakyat yang berlarutan.
"Jika keadaan ini berterusan, ekonomi negara kita sukar untuk pulih dan rakyatlah yang sengsara," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan