Tiada beza perasuah jerung atau bilis
Oleh Prof Madya Dr Suhaimee Saahar - Mac 5, 2024 @ 9:30am
Dalam usaha membangun dan memperkukuhkan negara berintegriti serta berdaya saing, Malaysia mengambil langkah signifikan ke arah membanteras rasuah.
Ini dapat dilihat berdasarkan petunjuk seperti skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2023 oleh Transparency International (TI) mencatatkan peningkatan kepada 50 mata daripada 47 mata pada tahun sebelumnya.
Ini indikator jelas bahawa usaha keras dan dedikasi kerajaan serta rakyat dalam melawan rasuah membuahkan hasil. Hasrat Perdana Menteri untuk melihat gejala rasuah yang membarah sebelum ini dapat dipulihkan diterjemahkan menerusi kerja keras semua pihak.
Konsep Ekonomi MADANI diperkenalkan antara usaha strategik memperkuat asas ekonomi negara melalui prinsip keadilan, ketelusan dan integriti. Dengan menetapkan sasaran mencapai kedudukan ke-25 dalam CPI dalam tempoh 10 tahun, Malaysia menunjukkan komitmen kuat untuk memperbaiki tatakelola dan meningkatkan kepercayaan pelabur dan komuniti perniagaan.
DISYORKAN UNTUK ANDA
Pencapaian meletakkan negara pada kedudukan ke-57 daripada 180 negara itu, bukti Malaysia berada pada landasan tepat. Usaha pemulihan semula ekonomi dapat diteruskan hingga negara mencatat jumlah pelaburan asing diluluskan yang tinggi tahun lalu, sekali gus membantu usaha memulihkan keyakinan pelabur dan kedudukan ringgit.
Peningkatan dalam skor CPI itu juga menunjukkan keberhasilan dalam meningkatkan kebebasan kehakiman seperti terlihat daripada pendakwaan dan sabitan dalam kes rasuah serta salah guna kuasa yang selama ini mengayakan golongan tertentu hingga menguasai beberapa sektor yang memerlukan pemulihan dan usaha reformasi pentadbiran ketat.
Era baharu usaha banteras rasuah
Langkah ini berserta usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) menandakan era baharu dalam usaha membanteras rasuah apabila tiada lagi keistimewaan untuk 'jerung' atau 'ikan bilis'.
Semua individu tunduk pada undang-undang sama tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Ini mesej jelas dan tepat serta memerlukan dukungan semua, terutama dalam memastikan nasib anak kita tidak akan tergadai kerana kealpaan dan kerakusan membolot limpahan kekayaan.
Oleh itu, perjuangan melawan rasuah tidak hanya tanggungjawab kerajaan, bahkan rakyat. Pendekatan dari bawah ke atas dengan setiap individu berperanan aktif memerangi rasuah adalah amat penting.
Kesedaran dan pendidikan mengenai kesan negatif rasuah perlu ditanamkan sejak dini, memastikan mereka tumbuh dengan nilai integriti dan kejujuran, sekali gus menjadi dahan kuat berteraskan integriti serta ketahanan melawan ketirisan dan salah guna kuasa.
Kerjasama sektor swasta dan kerajaan dalam mempromosikan tatakelola baik serta ketelusan dalam semua transaksi juga penting untuk menciptakan ekosistem perniagaan sihat dan bebas rasuah yang bukan hanya akan memperkuat ekonomi, bahkan meningkatkan daya saing Malaysia di pentas global.
Kesediaan menghadapi realiti rasuah dan bergerak menuju ketelusan total adalah langkah berani, namun penting digerakkan. Dengan mengakui masalah dan bekerja bersama sebagai satu bangsa, Malaysia dapat mengatasi halangan ini dengan mudah tanpa campur tangan daripada pihak berkepentingan peribadi.
Pada masa sama, penekanan pendidikan dan kesedaran mengenai rasuah sejak usia dini, memperkukuh institusi kehakiman dan undang-undang serta promosi budaya integriti dalam sektor awam dan swasta memerlukan langkah yang dapat diambil untuk memastikan usaha membanteras rasuah terus berjalan dan akar masalah dapat diatasi secara insklusif, progresif dan produktif.
Akhirnya, perjuangan melawan rasuah adalah maraton, bukan pecutan. Dengan terus menerapkan dan memperkuat Konsep MADANI, Malaysia berada di jalur benar untuk menciptakan masyarakat lebih baik dan lebih kuat dengan integriti dan keadilan bukan hanya diidamkan, bahkan menjadi kenyataan.
Penulias adalah Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Ulasan
Catat Ulasan