WHO rayu Israel tidak serang Rafah





WHO rayu Israel tidak serang Rafah
KANAK-kanak Palestin melihat runtuhan bangunan selepas ia musnah dalam serangan Israel pada malam sebelumnya, di kejiranan Rimal di Kota Gaza pada 16 Mac lalu. – AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
18 Mac 2024, 9:09 am

GENEVA: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merayu kepada Israel atas nama kemanusiaan supaya tidak melancarkan serangan ke atas Rafah di mana kebanyakan penduduk Gaza berlindung.

Tedros Adhanom Ghebreyesus menulis di aplikasi X, beliau bimbang tentang rancangan tentera Israel untuk meneruskan sera­ngan di wilayah selatan itu.

“Saya amat bimbang tentang laporan rancangan Israel untuk meneruskan serangan darat ke atas Rafah.

“Keganasan yang semakin meningkat di kawasan yang padat penduduk ini akan membawa kepada lebih banyak kematian dan penderitaan.

“Atas nama kemanusiaan, kami merayu kepada Israel untuk tidak meneruskan dan sebaliknya berusaha ke arah keamanan,” katanya.

Menurut Ghebreyesus, pemindahan yang dirancang oleh tentera Israel sebelum melancarkan serangannya bukanlah penyelesai­an yang praktikal.


“1.2 juta penduduk di Rafah tidak mempunyai tempat yang selamat untuk dipindahkan.

“Tiada kemudahan kesihatan yang berfungsi sepenuhnya dan selamat yang boleh mereka capai di tempat lain di Gaza.

“Ramai orang terlalu rapuh, lapar dan sakit untuk digerakkan lagi. Bencana kemanusiaan ini tidak boleh dibiarkan menjadi lebih teruk,” ujarnya.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu meluluskan rancangan tindakan tentera di Rafah, menurut satu kenyataan pada Jumaat lalu. Bagaimanapun tidak memberikan butiran atau garis masa mengenainya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat juga berulang kali memberi amaran terhadap operasi ketenteraan sedemikian.

Netanyahu berminggu-ming­gu berikrar untuk meneruskan perang setelah berjanji untuk memusnahkan Hamas susulan serangan 7 Oktober lalu oleh pejuang Islam.

Serangan Hamas mengakibatkan kira-kira 1,160 kematian di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan angka rasmi AFP.

Israel melakukan pengeboman tanpa henti dan pencerobohan darat sebagai tindak balas yang membunuh sekurang-kurangnya 31,553 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. – AFP

Ulasan