YPU, pusat pemeliharaan legasi ilmu ulama


YPU, pusat pemeliharaan legasi ilmu ulama
March 16, 2024

PUTRAJAYA: Yayasan Permata Ummah telah melancarkan Pusat Arkib Permata Ummah sempena majlis iftar dan kutipan dana di dewan Bizmilla, Shaftsbury, di sini hari ini.

Pengerusi Yayasan Permata Ummah, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi memberitahu, Yayasan Permata Ummah atau YPU ditubuhkan dengan matlamat untuk menjalankan pemeliharaan legasi ilmu para ulama.

“Juga (para) tokoh Islam untuk dimanfaatkan oleh masyarakat Islam di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Pertubuhan ini telah ditubuhkan secara rasmi pada 5 November 2021.

“YPU telah berjaya menggerakkan pelbagai projek dan aktiviti demi menyempurnakan matlamat utamanya sebagai hab pengumpulan dan penyimpanan khazanah ilmu yang sangat berharga ini. Antara peranan utama YPU sebelum ini dan masih berjalan ialah menggerakkan usaha penerbitan projek Tafsir At-Tibyan dalam Bahasa Melayu.

“Ia menjadi fokus utama buat masa ini. Karya ini digarap melalui kuliah pengajian tafsir yang telah berjalan selama lebih 40 tahun oleh YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang,” ujarnya pada majlis itu.

Menurut beliau, sempena dengan kedatangan bulan Ramadan pihak YPU telah melancarkan suatu kutipan dana bagi pembangunan pusat arkib ini yang terbahagi kepada tiga projek utama.

Iaitu jelasnya, penyediaan bilik repositori Maktabah Permata Ummah dan e-maktabah Permata Ummah di mana langkah yang diambil adalah sejajar dengan wawasan dan misi penubuhannya.

“Iaitu menjadi sebuah pusat penyelidikan dan rujukan yang mengumpulkan segala khazanah ilmu laksana telaga ilmu yang tidak akan kekeringan buat selama-lamanya. Hal ini merupakan antara inisiatif untuk mengekalkan khazanah keilmuan tersebut.

“Agar dapat disebarkan dan menjadi panduan kepada generasi yang akan datang. Semua ini tidak mungkin dilakukan tanpa sokongan daripada pelbagai pihak,” ujarnya yang juga ADUN Batu Buruk.

Majlis terdahulu turut diserikan dengan persembahan bacaan al-Quran oleh Johan Musabaqah Tilawah dan Hafazan Peringkat Antarabangsa Kuwait 2018, Ustaz Azraie Dato’ Abdul Hak.

Syarahan Perdana telah disampaikan Penaung Yayasan Permata Ummah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan para dermawan dari pelbagai pihak telah menyampaikan serahan sumbangan pada majlis ini.

Majlis ini turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, Ahli Parlimen Putrajaya, Mohd Radzi Md Jidin serta ramai lagi. – HARAKAHDAILY 16/3/2024

Ulasan