Ahmad Zahid sahkan lihat perintah tahanan rumah Najib

PEGUAM Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bercakap kepada pemberita selepas bicara permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib Razak mencabar kewujudan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, supaya menjalani baki tempoh pemenjaraan di rumah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF

Ahmad Zahid sahkan lihat perintah tahanan rumah Najib

Oleh SUWARNI MOKHTAR
18 April 2024, 7:30 am

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan melihat dan membaca titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’aya­tuddin Al-Mustafa Billah Shah yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman pemenjaraannya di rumah.

Sehubungan itu, beliau me­nyokong Najib berhubung dakwaan kewujudan titah adendum (tambahan) agar bekas Perdana Menteri itu menghabiskan baki hukuman penjara de­ngan tahanan di rumah melalui satu afidavit sokongan yang difailkan pada 9 April lalu.

Afidavit itu bagi menyokong semakan kehakiman yang difailkan Najib.

Semakan di sistem pemfailan mahkamah dan pegawai mahkamah mengesahkan afidavit tersebut masih boleh diakses serta tiada perintah sekatan.

Berdasarkan afidavit itu, Ahmad Zahid memberi­tahu, beliau dikunjungi Menteri Pelaburan, Perdaga­ngan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di rumahnya di Country Heights, 30 Janua­ri lalu.

Dalam pertemuan itu, Tengku Zafrul menunjukkan titah tersebut yang berada di dalam telefonnya yang mendakwa telah mengimbas daripada salinan asal titah adendum itu.


“Kandungan titah adendum secara jelas menyatakan bahawa pemohon (Najib) dibenarkan menjalani hukumannya yang dikurangkan kepada ‘tahanan rumah’ dan bukannya secara pemenjaraan seperti sekarang di Penjara Kajang.

“Saya juga melihat titah adendum itu bertarikh 29 Januari 2024 dan mempunyai meterai serta tandatangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XVI. Saya seterusnya mengesahkan bahawa titah adendum itu adalah tulen dan sebenarnya adalah Titah Prerogatif Diraja sama seperti Titah Utama,” kata Ahmad Zahid dalam afidavit sokongan itu.

Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan (titah adendum) yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.

Menurut afidavit yang difailkan, Najib mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung titah adendum pada 12 Februari lalu.

Menurut afidavit Ahmad Zahid, beliau juga percaya bahawa selain dirinya dan Tengku Zafrul, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan anggota kerajaan lain telah melihat salinan titah adendum tersebut dan boleh mengesahkan perkara sama.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai salinan titah tersebut memandangkan titah berhubung tahanan dalam rumah itu belum dilaksanakan.

“Saya selanjutnya dengan sesungguhnya dimaklumkan bahawa Yang Berbahagia Peguam Negara mempunyai satu salinan asal atau hanya salinan Titah Adendum untuk pertimbangan undang-undang be­liau,” ujar Ahmad Zahid.

Menurut penyataan yang difailkan, pada 1 September 2022, Najib melalui peguamnya memfailkan petisyen memohon pengampunan penuh terhadap sabitan salah dan hukuman penjara serta denda selepas didapati bersalah atas tuduhan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn. Bhd.

Kata pemohon, pada 29 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan ‘titah utama’ iaitu supaya hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib mendakwa titah adendum turut dikeluarkan pada tarikh sama tetapi mendakwa ia tidak didedahkan oleh mana-mana responden sehingga kini.NAJIB TUN RAZAK

Pada 14 Februari, Najib te­lah mengarahkan peguamnya menghantar surat kepada Peguam Negara yang turut di­salinkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid bagi memohon pengesahan berhubung titah adendum tersebut.

Peguam Najib turut memohon salinan asal titah utama dari Penjara Kajang tetapi tidak dijawab sehingga kini.

Najib mendakwa, kegagalan kesemua responden menjawab surat atau mengesahkan kewujudan titah adendum itu adalah sesuatu yang tidak rasional, tidak munasabah, me­nyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Tengku Zafrul dalam satu kenyataan berkata, beliau akan mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai dan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran memfailkan afidavit memperbetul beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit yang diikrarkan oleh Ahmad Zahid.

Beliau berkata, pendiriannya itu bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung.

“Saya hanya ingin memastikan bahawa fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya. Ini akan membolehkan keputusan yang adil dan saksama dibuat demi kepentingan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan akan membawa perkara dibangkitkan Tengku Zafrul kepada perhatian pihak mahkamah. – UTUSAN

Ulasan