AKSB tangani segera gangguan bekalan air di Pasir Mas, Tumpat


AKSB tangani segera gangguan bekalan air di Pasir Mas, Tumpat
April 2, 2024

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bertindak segera mengesan penyusutan paras air sungai yang membekalkan sumber air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Kelar Pasir Mas.

Hasil gerak kerja itu AKSB mengesan kerosakan dua unit pam akibat mendapan pasir dan sampah yang menyekat kemasukan air mentah ke muka sauk.

Ekoran itu AKSB memasang pam tambahan di luar muka sauk, menyediakan sambungan elektrik dan pemasangan paip untuk membolehkan air mentah disalur ke loji tersebut.

Di samping itu AKSB menggerakkan lori tangki, lori air kontrak dan menempatkan 33 tangki statik ke kawasan yang terjejas di Pasir Mas.

Selain itu ASKB turut menyediakan sebuah lori tangki, dua lori air kontrak dan 75 tangki statik di Tumpat ketika kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan LRA sedang giat dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, kerja berpasukan AKSB menangani segera gangguan belakan air di Pasir Mas dan Tumpat.

“Daripada krisis kepada tindakan. Berpadu tenaga melawan masa. Loji Rawatan Air Kelar telah pulih seperti biasa. Tahniah semua,” katanya pada hantaran di Facebook petang semalam.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 52,000 pengguna di Tumpat dan Pasir Mas terputus bekalan air ekoran penyusutan paras sungai di LRA Kelar. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

Ulasan