Akta 355: Dakwaan MCCBCHST sentuh isu 3R



Akta 355: Dakwaan MCCBCHST sentuh isu 3R
Takiyuddin Hassan
Oleh Meja Berita
6 April 2024, 1:36 pm

PETALING JAYA: Pendapat bahawa cadangan pindaan terbaru Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bakal mewujudkan dua sistem undang-undang jenayah di negara ini tersasar jauh dan menggambarkan ketidakfahaman ketara mengenai undang-undang.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memandang serius kenyataan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) dan secara jelas tindakan hasutan membabitkan isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Menurut beliau, kenyataan itu bukan semata-mata mengenai isu Perlembagaan tetapi juga hal ehwal agama Islam, yang mana MCCBCHST tidak mempunyai apa-apa locus standi untuk memberikan pandangan atau mengemukakan bantahan.

“Sistem berkembar undang-undang sudah lama wujud dan dipraktikkan di Malaysia melalui pewujudan sistem Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, yang mana Mahkamah Persekutuan tidak menghapuskan kuasa gubalan negeri secara total ke atas kesalahan yang tidak termasuk dalam Senarai Persekutuan.

“Pas juga melihat cadangan pindaan Akta 355 mampu memperkasa undang-undang syariah, selaras dengan kehendak demokratik majoriti umat Islam di negara ini.

“Jika MCCBCHST menganggap cadangan pindaan terbaru itu tidak berperlembagaan, maka persoalan yang timbul, adakah MCCBCHST ingin menyatakan Akta 355 juga tidak berperlembagaan? Jika ya, maka ia adalah satu pandangan yang berbahaya, berniat jahat dan tidak berasas sama sekali,” kata ahli Parlimen Kota Bharu dalam kenyataan hari ini.


Takiyuddin berkata, undang-undang Syariah tidak terpakai kepada orang bukan Islam dan memandangkan MCCBCHST tidak mengemukakan apa-apa penjelasan atau bukti mengenai kesan pindaan itu ke atas orang bukan Islam, melainkan sebagai andaian kosong semata-mata, maka kenyataan MCCBCHST ini jelas adalah campur tangan yang ketara dalam hal ehwal Agama Islam.

“Ia juga adalah satu bentuk Islamophobia terhadap kedudukan dan amalan agama Islam di negara ini yang dipelihara serta dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, Pas sekali lagi menggesa Putrajaya supaya segera memberikan maklum balas terhadap kenyataan MCCBCHST yang memang songsang dan tersasar itu, sekali gus mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera,” katanya.

Semalam, dilaporkan, Presiden MCCBCHST, Tan Hoe Chieow mempertahankan pendirian badan itu mengenai cadangan pindaan kepada Akta 355, dengan berkata, kenyataannya baru-baru ini adalah semata-mata mengenai perkara Perlembagaan dan tidak berkaitan dengan agama Islam.

Hoe Chieow mendakwa, pindaan yang dicadangkan itu akan menyebabkan dua sistem undang-undang jenayah wujud antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, sekali gus bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan hak orang bukan Islam.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Akta 355 yang digubal pada 1965 pernah dipinda sebanyak dua kali, dengan yang pertama pada 1984 untuk menaikkan kadar hukuman daripada RM1,000 kepada RM5,000, penjara enam bulan kepada tiga tahun dan menambah hukuman kepada enam sebatan, sekali gus menaikkan had kuasa Mahkamah Syariah dalam kes jenayah syariah selaras peredaran masa.

Beliau berkata, hukuman yang boleh dikenakan Mahkamah Syariah adalah bagi kesalahan yang digubal oleh negeri berdasarkan kuasa gubalan yang termaktub dalam Butiran 1, Senarai II (Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

“Takrifan kuasa gubalan negeri seperti yang diputuskan Mahkamah Persekutuan dalam kes terdahulu jelas sekali mengiktiraf kewujudan sistem berkembar di negara ini.

“Antara kes berkenaan adalah kes Sukma Darmawan, ZI Publication Sdn Bhd dan yang terbaru, kes Nik Elin Zurina yang menyaksikan mahkamah mengiktiraf sistem berkembar berkenaan, tertakluk kepada Klausa Pengecualian,” katanya.- UTUSAN

Ulasan