Banjir kilat: Bukan sekadar beri kesan emosi rakyat





Banjir kilat: Bukan sekadar beri kesan emosi rakyat
April 23, 2024


KUALA TERENGGANU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang mengalami bencana banjir kilat sebanyak dua kali dalam tempoh masa yang sangat dekat iaitu pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini.



ADUN Ladang, Zuraida Md Noor berkata, jumlah taburan hujan yang agak tinggi telah menyebabkan banjir kilat di kawasan-kawasan perumahan sekitar Jalan Sultan Omar dan Jalan Kamaruddin.

“Bencana banjir kilat ini bukan sahaja memberi kesan emosi kepada rakyat tetapi juga melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada semua pihak, rakyat dan juga kerajaan.

“Untuk rekod, kira-kira lebih 450 keluarga terlibat dengan bencana banjir ini termasuk mereka yang tinggal berdekatan dengan perparitan menghala ke arah Sungai Ibai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Titah Ucapan Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agensi-agensi dan pihak-pihak yang berkaitan untuk mereka bentuk satu Pelan Mitigasi Banjir (Flood Mitigation Plan) bagi mengurangkan kesan banjir kilat di kawasan tersebut.

“Seperti mana yang kita tahu dalam Rancangan Tempatan Daerah Kuala Terengganu 2030 dan 2035 (Pengubahan 1) sudah ada perancangan mitigasi banjir bagi menangani banjir kilat sekitar Kuala Terengganu.

“Tetapi memandangkan pelan ini masih dalam perancangan dan tempoh masa pelaksanaan pelan tersebut yang agak lama, kita seharusnya mengambil satu langkah proaktif dengan menyediakan rancangan sokongan atau backup plan yang mampu mengurangkan beban kepada rakyat yang terpaksa menghadapi banjir kilat ini hampir saban tahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/04/2024

Ulasan