Bersatu serah Hamzah beri notis 6 ahli Parlimen



PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di sini, hari ini. - UTUSAN/M Firdaus M Johari

Bersatu serah Hamzah beri notis 6 ahli Parlimen
Oleh ARIF AIMAN ASROL
21 April 2024, 5:18 pm

HULU SELANGOR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan enam ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima notis dalam masa terdekat.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pimpinan menyerahkan tugas mengeluarkan notis tersebut kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Kata beliau, Bersatu sudah melakukan perbincangan dan membuat keputusan berhubung nasib enam ahli Parlimennya yang terlibat.

“Kita akan ambil langkah-langkah yang sudah kita persetujui dalam tempoh seminggu ini.

“Kita serahkan kepada pihak Setiausaha Agung untuk melaksanakan itu. Jadi ini bermakna kita tunggu sahajalah (tindakan lanjut),” katanya dalam selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri anjuran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di sini, hari ini,

Terdahulu, media melaporkan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan usul pindaan perlembagaan Bersatu yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM), 2 Mac lalu.


Pindaan tersebut dijangka memberi kesan kepada enam ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini menyokong kerajaan.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pindaan berkenaan membabitkan tiga perkara bawah Fasal 10 Perlembagaan Bersatu berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti, iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6. – UTUSAN

Ulasan