DAP-UMNO jangan keterlaluan – Nik Nazmi




DAP-UMNO jangan keterlaluan – Nik Nazmi
NIK NAZMI Nik Ahmad ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia di Putrajaya, kelmarin. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM dan OMAR ZIN
4 April 2024, 7:55 am

PUTRAJAYA: UMNO dan DAP diingatkan tidak terbawa-bawa ‘tradisi’ perseteruan antara ke­dua-dua parti itu ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha gigih memulih­kan ekonomi dan menangani kos sara hidup rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sebarang perbezaan pendapat antara dua parti komponen Kerajaan Perpa­duan itu perlu diselesaikan melalui rundingan dan perbincangan secara baik.

Bagaimanapun, beliau berkata, perbezaan pandangan tidak menjadi masalah apatah lagi dalam sebuah Kerajaan Perpa­duan yang mempunyai parti pelbagai kaum termasuk parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

“PKR pun ada pandangan sendiri, kadang-kadang kita berbeza dengan DAP, ada berbeza dengan UMNO. Bagi saya itu tak ada masalah, setakat perbezaan pandangan dan pendapat.

“Cuma kita jangan keterlaluan, jangan terbawa-bawa. Sedangkan kita tahu rakyat berdepan dengan isu kos sara hidup, rakyat berdepan de­ngan soal peluang pekerjaan,” kata­nya ketika ditemui di pejabatnya di sini, kelmarin.

Menurut Nik Nazmi, sebagai orang politik, mereka tidak boleh menyebarkan perbezaan pandangan terlalu terbuka di media sosial semata-mata hanya mahu mengejar like atau hit view.


Sebaliknya, kata beliau, mana-mana pemimpin politik perlu fikir konteks lebih bijak dan melihat keutamaan apa yang baik untuk rakyat dan negara.

“Saya tidaklah kata tak boleh langsung pandangan berbeza sebab saya rasa itu tak sihat. Tapi seboleh-bolehnya kita ada banyak ruang kita boleh bertemu.

“Kita boleh cari jalan untuk bincang dengan baik perkara ini boleh diselesaikan dengan baik,” katanya.

DAP dan UMNO sebelum ini merupakan seteru politik sekian lama sebelum kedua-dua parti itu menganggotai Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Walaupun kini berada dalam sebuah ‘kapal’ yang sama, UMNO dan DAP masih lantang bersuara dan mengkritik sesama parti dalam kerajaan terutama jika melibatkan sensitiviti kaum dan agama.

Antaranya, cadangan Datuk Ngeh Koo Ham yang mahu kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam, sebelum Ahli Parlimen Beruas itu membuat permohonan maaf.

Selain itu, bekas Pengerusi DAP, Lim Kit Siang cuba membangkitkan isu bukan Melayu boleh jadi Perdana Menteri dan selepas itu Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai juga membangkitkan semula isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang perlu dilaksanakan semula.

Dalam isu terbaharu berkaitan penjualan stoking tertera kalimah Allah, Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menggesa agar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh memberhentikan kempen memboikot rangkaian pasar raya KK Mart.

Kor Ming menggesa pe­mimpin muda dari Melaka itu supaya berhenti menghasut sentimen perkauman dan agama berhubung isu berkenaan dengan berkata, reaksi Dr. Akmal hanya akan memudaratkan UMNO. – UTUSAN

Ulasan