Gangguan digital jejas produktiviti pekerja

 

Gangguan digital jejas produktiviti pekerja
Oleh Mohamad Ikhwan Al Syahid Abdullah Tahir - April 24, 2024 @ 8:12am


PADA era digital mutakhir, penggunaan teknologi menjadi satu kepentingan dalam kehidupan seharian sama ada lingkungan peribadi mahupun kerjaya. Namun, ia juga membawa cabaran tersendiri yang boleh menjadi ancaman produktiviti di tempat kerja. Salah satu cabaran utama yang dihadapi pekerja di Malaysia ialah gangguan digital.

Gangguan digital merujuk kepada situasi seseorang terganggu perhatian akibat penggunaan teknologi digital seperti telefon pintar, komputer atau peranti elektronik. Salah satu tanda gangguan digital dalam kalangan pekerja ialah kehilangan fokus menjalankan tugas harian.

Penggunaan telefon pintar berlebihan di tempat kerja sering mengakibatkan seseorang sukar fokus pada tugas diberikan. Kajian terkini mendapati purata masa fokus seseorang ialah 40 saat dan kehilangan fokus setiap 40 saat dengan perkara di sekeliling. Konflik perhatian ini diburukkan lagi dengan rantaian makluman daripada media sosial dan aplikasi tertentu.

Gangguan digital juga menyebabkan pekerja cenderung menghabiskan masa berlebihan untuk hal tidak berkaitan dengan kerja hakiki, seperti melayari laman sosial atau bermain permainan digital. Pada suatu ketika, jabatan kerajaan atau syarikat melaksanakan dasar pelayaran internet secara terpilih iaitu akses pelayaran Internet ke laman web atau media sosial tidak relevan dengan tugas akan disekat.

DISYORKAN UNTUK ANDA










Namun kini, dasar berkenaan tidak praktikal memandangkan jabatan kerajaan dan syarikat perlu membangun serta mengembangkan kehadiran mereka dalam dunia digital khususnya melalui laman web sendiri dan media sosial. Maka, pekerja tidak lagi dikekang penggunaan internetnya justeru risiko gangguan digital semakin meningkat di tempat kerja.

Perubahan emosi yang ketara juga menimbulkan kesan daripada gangguan digital. Pekerja mengalami gangguan digital kronik cenderung mengalami kegelisahan, tekanan mental dan kemurungan. Penggunaan gajet khususnya telefon dan komputer peribadi berpanjangan akan memberikan kesan negatif kepada bentuk tubuh sekali gus menyumbang kepada ketidakstabilan emosi pekerja.

Langkah boleh diambil bagi mengatasi gangguan digital dalam kalangan pekerja adalah menerusi tiga peringkat iaitu nasional, organisasi dan individu. Di peringkat nasional, kerajaan boleh mencontohi negara mengangkat hak individu untuk menyahsambung (right to disconnect) seperti undang-undang El Khomri di Perancis dan Akta Kod Amalan di Ireland memberi perlindungan kepada pekerja tidak mahu diganggu khususnya secara digital selepas waktu bekerja.

Di peringkat organisasi, kesedaran ancaman gangguan digital perlu digerakkan di samping menyediakan khidmat kaunselor bagi mereka terbabit dengan gangguan digital.

Kursus produktiviti seperti pengurusan masa dan radas pengurusan perlu tersedia di organisasi supaya pekerja celik gangguan digital. Pihak pengurusan juga perlu turut terbabit menyediakan persekitaran kerja menyokong penggunaan teknologi secara bijak dan produktif.

Di peringkat individu, langkah boleh diambil termasuk menetapkan had masa penggunaan teknologi, melakukan pembahagian masa dengan bijak antara kerja dan rehat, mengamalkan aktiviti luar mengurangkan kebergantungan kepada teknologi berlebihan.

Nilai seperti disiplin dan integriti perlu diperkukuh bagi mengelakkan diri terjebak dalam rutin tidak produktif akibat gangguan digital dan terlepas pandang tugas sepatutnya dilaksanakan.

Dalam dunia semakin canggih dengan teknologi digital, gangguan digital mungkin tidak dapat dilenyapkan sepenuhnya namun boleh diminimumkan supaya pekerja boleh membebaskan diri daripada kitaran kesibukan palsu menuju produktiviti tulen.

Penulis adalah Perunding Latihan, Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Ulasan