Hanif: Jaga negara baik-baik



SHAH ALAM: Meletakkan ke­pen­tingan negara melebihi keluarga adalah pengorbanan terbesar Ketua Polis Negara Keempat, Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar sepanjang per­khidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hanif, 85, seorang ikon polis dikenali sebagai anggota keselamatan yang berdepan dengan ancaman pasca Merdeka iaitu serangan komunis yang ketika itu masih memberi tentangan kepada keselamatan negara sewaktu beliau diangkat menerajui PDRM pada Jun 1974.


Malah, sebelum itu, beliau sebagai pegawai polis berpe­ngalaman dalam menangani keganasan dalam konfrontasi Indonesia – Malaysia pada 1963 hingga 1966.

Sepanjang berkhidmat sebagai pegawai polis, Tun Hanif bertangungjawab melaksanakan tugas-tugas penting ter­utama ketika menjawat jawatan Ketua Polis Negara, antaranya mengasaskan Unit Elit Anti-Pengganas, Unit Tindakan Khas pada Januari 1975.

Pada Ogos tahun sama, beliau mengetuai operasi menyelamat tebusan di bangunan AIA. Selain itu, Tun Hanif juga menjadi Ketua Polis Negara yang menamakan semula Bluff Road Hill kepada Bukit Aman pada 1975 yang sehingga kini menjadi Ibu pejabat PDRM di Kuala Lumpur.
MENERAJUI

Itulah antara perubahan-perubahan besar dilakukan ketika menerajui kepemimpinan PDRM selepas dilantik Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.


Bekas Ketua Polis Negara Kesembilan, Tan Sri Ismail Omar berkata, Allahyarham adalah pemimpin yang bertanggungjawab memodenkan pasukan sepanjang berkhidmat dari 1974 hingga 1994.

“Kerana beliau terpilih oleh Perdana Menteri ketika itu beliau menunjukkan ketokohan sehingga menjadi ikon kepada polis muda termasuk saya, ketika masih seorang inspektor,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, tidak ke­terlaluan jika menganggap Tun Hanif sebagai seorang legenda dalam PDRM yang sangat patriotik.

“Ketika itu beliau (Tun Hanif) berusia 35 tahun sudah menjadi Ketua Polis Negara. Bapa saya dan saya juga pernah berkhidmat bawah beliau dan banyak perkara-perkara yang baik disumbang kepada PDRM dan kerajaan selama berkhidmat. Lebih 10 tahun juga saya ber­khidmat dan bermula dari pangkat Inspektor sehingga ASP.
MEMIMPIN

“Pada saya Allahyarham adalah seorang legenda untuk me­mimpin PDRM dan pada masa tersebut berkhidmat pada kerajaan. Pada masa tersebut juga dalam keadaan aman, kebajikan anggota PDRM memang terjaga,” ujarnya.AHLI keluarga dan kenalan memberi penghormatan terakhir kepada bekas Ketua Polis Negara, Allahyarham Tun Haniff Omar di Masjid Negara. – UTUSAN/ Saddam Yusoff

Anak kedua Allahyarham ia­itu Kapten (Bersara) Abdul Rahmat Omar, 58, seorang bekas pakar penerbangan memberitahu, ko­mitmen bapanya sebagai seorang pegawai polis amat tinggi sehingga meletakkan kepenti­ngan negara melebihi keluarga.

“Pernah diceritakan kepada saya, ketika ibu melahirkan arwah kakak, Allahyarham ke­tika itu sedang bertugas di Bangkok, Thailand. Malah, beliau juga tidak berkesempatan melihat saya dan adik-adik lain dilahirkan.

“Sehinggalah kami dewasa, ketika berkhidmat beliau meletakkan negara sebagai nombor satu. Bagaimanapun, kami memahami kerana jika beliau meninggalkan tugasnya bererti mengabaikan tanggungjawab menjaga keselamatan jutaan rakyat,” jelasnya.

Tambahnya, sikap patriotik bapanya itu jelas sehingga ke hari-hari terakhir arwah , beliau masih bercakap soal keselamatan negara berkaitan krisis yang berlaku di Teluk Arab antara Palestin, Iran dan Israel.

“Dalam perbualan tersebut kami bercakap mengenai sera­ngan antara Iran dan Israel sebelum beliau berpesan agar mereka yang diamanahkan menjaga negara supaya menjaga sebaik-baiknya,” kata Abdul Rahmat.

Tun Hanif menghembuskan pukul 2.15 pagi, semalam selepas hampir setahun menanggung penyakit buah pinggang tahap akhir.

Pemergian allahyarham pada hari ke-11 sambutan Aidilfitri itu meninggalkan isterinya, Toh Puan Hamidah Abdul Hamid serta tiga orang anak yang masih hidup (dua meninggal dunia), sembilan cucu dan cicit. – UTUSAN

Ulasan