Harga minyak naik bakal jejas subsidi kerajaan

Harga minyak naik bakal jejas subsidi kerajaan
KONFLIK Iran-Israel mampu menyebabkan lonjakan harga minyak dan memberi tekanan fiskal yang besar keatas subsidi kerajaan.
Oleh AMIRUL AIMAN OSMAN
16 April 2024, 8:17 pm

PETALING JAYA: Konflik Iran-Israel mampu menyebabkan lonjakan harga minyak dan memberi tekanan fiskal yang besar ke atas subsidi kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, jika konflik ini terus merebak, tidak mustahil Iran akan menghentikan bekalan minyak sebagai tanda protes terhadap Amerika Syarikat (AS) agar tidak membantu Israel.

“Memandangkan Iran adalah pengeluar ketujuh terbesar di dunia, jadi sebarang gangguan bekalan daripada mereka akan menyebabkan harga minyak melonjak naik,” katanya.

Menurut beliau, kenaikan mungkin akan berlaku seperti keadaan semasa Perang Russia dan Ukraine bermula yang menyebabkan harga minyak melambung di mana tanpa subsidi hampir mencecah RM5 seliter.

“Hal ini akan membuatkan kerajaan menghadapi tekanan fiskal yang besar kerana subsidi mungkin melonjak lebih RM30 bilion setahun”, ujarnya.

Terdahulu, Iran melancarkan serangan udara ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap pengeboman konsulatnya di Syria dan mencederakan 12 orang termasuk kanak – kanak.


Serangan 300 dron dan peluru berpandu itu menyebabkan penutupan sementara ruang udara di Iraq, Lubnan dan Jordan.

Mengulas lanjut, Khairul Annuar berkata, dari sudut pengusaha stesen pula, kos akan naik terutama pemeluwapan dan kadar diskaun dagang (MDR).

“Penjualan minyak terutama diesel akan menjadi rugi dan berkemungkinan banyak stesen akan mula tutup dan bekalan minyak mungkin terjejas teruk,” katanya.

Oleh itu, Khairul Annuar berkata, kerajaan haruslah berbincang dengan lebih mendalam jika ingin melaksanakan subsidi bersasar kerana berkemungkinan mampu membuat penjualan diesel menjadi rugi dan akan ada isu bekalan minyak nanti.

“Sekiranya harga hendak dinaikkan maka perlulah naik secara berperingkat supaya tidak menjadi tekanan inflasi yang melampau kerana jika harga naik secara drastik, pengusaha stesen minyak akan menghadapi masalah untuk menyediakan tambahan modal sehingga RM300 ribu untuk membeli stok baru yang harganya mungkin meningkat lebih 50 peratus”, kata beliau.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid pula berkata, konflik yang terjadi itu membawa kesan lain yang lebih besar kepada negara terutamanya pasaran kewangan melibatkan pasaran saham, bon, kadar matawang asing dan komoditi.

Menurut beliau, apabila berlaku ketidakpastian ekonomi disebabkan konflik ketenteraan maka permintaan terhadap mata wang dolar AS akan meningkat kerana mata wang dolar bersifat safe haven currency.

Peningkatan nilai dolar AS akan menyebabkan kemerosotan dalam mata wang ringgit sekali gus meningkatkan kos untuk mengimport barangan dan perkhidmatan dari luar. – UTUSAN

Ulasan