Hari mengundi PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei



Hari mengundi PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei
ABDUL Ghani Salleh ketika mempengerusikan mesyuarat PRK Kuala Kubu Baharu di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
4 April 2024, 12:05 pm

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri N.06 Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 11 Mei depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan, tarikh penamaan calon pula pada 27 April ini, manakala undi awal ditetapkan pada 7 Mei depan.

“Sejumlah 40,226 pemilih terlibat dengan peruntukan kos kira-kira sebanyak RM2.5 juta,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK berkenaan di sini hari ini.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

SPR sebelum ini menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu.

Kee Hiong adalah wakil rakyat DUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 dan ini adalah penggal ketiganya selepas mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Selangor 2023.


Pada PRN Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Beliau kali pertama mewakili kawasan itu pada 2013 apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dengan majoriti 1,702 undi. – UTUSAN

Ulasan