Hizbullah sertai Iran, serang Israel



Hizbullah sertai Iran, serang Israel
ASAP kelihatan di perkampungan Tayr Harfa sempadan selatan Lubnan semalam, susulan konflik berterusan dengan Israel. FOTO AFP.


Beirut: Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan memberitahu pihaknya melancarkan serangan roket baharu, hari ini ke arah Bukit Golan yang dikuasai Israel.

Serangan itu dilancarkan beberapa jam selepas mereka menyertai serangan dron dan peluru berpandu oleh Iran yang menyasarkan Israel.

Hizbullah yang disokong Iran, kerap melakukan tembakan rentas sempadan terhadap Israel sejak perang berterusan di Gaza.

Dalam kenyataan dikeluarkan kumpulan itu memaklumkan, puluhan roket Katyusha dilancar di tiga kawasan ketenteraan Israel di Golan, wilayah yang dirampas Israel daripada Syria dalam Perang Enam Hari 1967.

Lagi Berita





Sementara itu di Tehran hari ini, ribuan rakyat Iran berkumpul di jalanan sebagai tanda sokongan terhadap serangan dron dan peluru berpandu yang belum pernah berlaku sebelum ini terhadap musuh ketat mereka, Israel.


"Kematian buat Israel! Kematian buat Amerika!" laung penunjuk perasaan itu di Dataran Palestin Tehran, sejurus selepas Pengawal Revolusi mengumumkan pelancaran Operasi Janji Jujur.


Mural yang tertera ayat 'tamparan seterusnya lebih perit' terbentang di dataran berkenaan dengan sepanduk besar dalam bahasa Hebrew digantung selama beberapa hari, dituju kepada orang Israel supaya 'berlindung'.

PENUNJUK perasaan mengibar bendera Iran dan Palestin di Dataran Tehran, meraikan tindakan Iran melancarkan serangan ke atas Israel hari ini. FOTO AFP.



Penunjuk perasaan juga mengibarkan bendera kebangsaan Iran dan Palestin bersama sepanduk bertulis 'Kemenangan semakin hampir'.

Serangan Iran ke atas Israel sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik, Syria, 1 April lalu yang mengorbankan tujuh Pengawal Revolusi termasuk dua daripadanya jeneral.

Tehran sejak itu berikrar membalas dendam terhadap serangan yang didakwa dilakukan Israel, malah Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berjanji, "rejim jahat (Israel) akan dihukum".

Media Iran menyifatkan serangan ke atas Israel sebagai kompleks kerana ia turut membabitkan sekutu Iran di Yaman, Lubnan dan Iraq.

"Serangan ini bukan datang dari Iran sahaja, dan rejim ini (Israel) sedang dihukum dari empat arah," kata agensi berita Tasnim.
Disiarkan pada: April 14, 2024 @ 1:16pm

Ulasan