Kegusaran Tokyo suntik nafas baharu bagi strategi Washington





Kegusaran Tokyo suntik nafas baharu bagi strategi Washington
KEHADIRAN Amerika Syarikat (AS) dan pangkalan lanjutan di Filipina akan menjadi platform sempurna bagi Tokyo yang berhasrat untuk mempunyai kuasa lanjutan lebih terjamin di luar sempadannya.
Oleh Collins Chong Yew Keat
24 April 2024, 8:00 am

Dalam mentakrifkan komitmen terhadap kesahihan undang-undang antarabangsa serta norma maritim global, Washington kekal kukuh dalam memberikan gambaran jelas kepada potensi pelaku serantau lain yang berkemungkinan untuk rapat terhadap jaringan kesepakatan cegah rintang dan sekutu keselamatan bersama.

Sementara Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden kekal dengan pendirian tegas untuk menyokong Manila sekiranya berlaku sebarang konflik di rantau ini dan ikrar Tokyo sendiri bahawa Washington tidak bersendirian dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa, semuanya menggariskan kapasiti bersama yang kian jelas dan kukuh dalam memberikan sandaran dan jaminan antara satu sama lain.

Ini juga penting dalam memberikan keyakinan dan momentum baharu kepada domain keselamatan serantau, mengurangkan risiko pelaku lain untuk terus menolak jaringan keselamatan Washington dan mempertingkatkan keterjaminan dan ketersediaan untuk memberikan sokongan geografi dan sumber lain dalam jentera pertahanan Barat sekiranya tercetus konflik dan semasa konflik.

Inisiatif rondaan bersama antara Manila dan Washington seperti yang dipersetujui sebelum ini akan menekan China sejauh mana keberkesanan dan kepercayaan di antara pakatan Filipina-A.S. Ia akan meningkatkan bargaining chips dan leverage Filipina apabila China meneruskan aktiviti maritim yang menyekat pergerakan kapal laut Filipina.

Biden mengulangi bahawa sebarang serangan ke atas aset Filipina di Laut China Selatan akan melibatkan perjanjian pertahanan bersama dan ini memberikan keyakinan baharu bagi Manila dalam meneruskan pendekatannya untuk mendedahkan secara terbuka realiti fizikal peperangan zon kelabu Beijing dan penggunaan berterusan kapasiti Coast Guard.

Second Thomas Shoal menjadi kawasan pertikaian dan konfrontasi berbulan-bulan mulai dari insiden laser hingga tembakan meriam air ke atas kapal-kapal Filipina, yang telah ditonjolkan secara terbuka oleh Manila dalam usaha untuk mendedahkan kepada masyarakat global tahap sebenar tindakan Beijing.


Beijing mengecam kenyataan bersama itu dan menganggap Washington sebagai menggugat kestabilan rantau itu dengan campur tangan luar dan melagakan pelaku serantau. Washington dilihat sebagai pelaku luar yang tidak mempunyai locus standi terhadap isu pertikaian tersebut.

ADVERTISING


KELEBIHAN
Washington kini mempunyai kelebihan menggunakan pengisytiharan bersama ini dan perkongsian keselamatan yang lebih erat, di samping langkah unilateral Tokyo untuk rapat dengan Manila melalui Perjanjian Akses Timbal Balik.

Beijing juga mempunyai naratif tersendiri dengan menggunakan justifikasi bahawa langkah pembendungan yang diketuai Barat kini menggugat keamanan serantau dan meningkatkan risiko dilema keselamatan dan persaingan dan perlumbaan senjata.

Beijing terus menerus menuduh Manila melanggar kedaulatan China dan menyatakan bahawa rejim Marcos Jr. tunduk kepada perintah dan tuntutan Washington, bukan seperti bekas Presiden Duterte yang dilihat mesra China.

Tokyo dilihat sebagai pertaruhan yang lebih selamat, menyedari keperluan dan kebimbangan keselamatan yang yang akan mengukuhkan komitmen bersama dalam sokongan sekunder yang berpanjangan.
Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengulangi kerjasama pelbagai penjuru penting dan pertemuan tiga hala ini di Whita House adalah satu langkah bersejarah.

Beliau sedar tentang keperluan untuk bertindak pantas dan peningkatan momentum dalam perbelanjaan, pemodenan pertahanan serta pelbagai langkah keselamatan dan diplomatik baharu mulai dari Overseas Security Assistance (OSA) hingga Reciprocal Access Agreement (RAA) dengan pelbagai rakan kongsi.

Jumlah peremajaan dalam bidang pertahanan dan keselamatan Jepun tidak hanya menunjukkan ia hanya merapatkan jurang dalam kapasiti pertahanan semasa terhadap kekuatan dan niat ketenteraan Beijing.
Matlamat akhir adalah sentiasa bersedia untuk berdepan konflik nyata dan peperangan, sama ada daripada konflik di Taiwan atau daripada ketegangan Laut China Selatan.

Tokyo memerlukan semua bantuan yang boleh diperoleh dan untuk mempelbagaikan sumber pakatan. Camp David adalah permulaan yang baik, tetapi Tokyo memerlukan jaminan yang diperluaskan.

Biden telah meminta kongres tambahan US$128 juta (RM612 juta) untuk projek infrastruktur di pangkalan Filipina dan melihat negara itu sebagai asas geostrategik dalam menghentikan kemaraan China di sempadan utama perairannya selain menghalang penguasaan di Kepulauan Pasifik dan Pasifik sekiranya konflik bermula. Kepentingan ini mengimbau kembali kepentingan dan peranan strategik yang sama semasa Perang Dunia Kedua.

Kemungkinan tawaran pelaburan sebanyak kira-kira US$100 bilion (RM478 bilion) oleh Washington dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang mencerminkan strategi untuk mengekang alat ekonomi China.
Jepun memerlukan pilihan sandaran baharu, yang lebih mudah dan lebih dekat dari segi geografi dan dalam domain negara fizikal jiran yang akan mendapat sokongan keselamatan yang mampan dan lebih terjamin serta bantuan lain semasa konflik masa nyata.

Manila kekal sebagai pemain paling strategik kerana ia menyediakan barisan pertama sokongan yang diperlukan untuk potensi konflik Jepun dengan China.

Usaha RAA Jepun dengan Filipina menyediakan struktur yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua pihak, kerana Tokyo akan mendapat manfaat daripada perluasan di sayap selatannya, yang juga akan melengkapkan kebersamaan kapasiti pangkalan AS sedia ada di Okinawa.

Kehadiran AS sedia ada dan pangkalan lanjutan di Filipina akan menjadi platform yang sempurna bagi memenuhi hasrat Tokyo dalam kuasa lanjutan yang lebih terjamin di luar sempadannya.

Oleh itu, Manila dilihat sebagai pertaruhan yang lebih selamat bagi Tokyo mempunyai kehadiran dan kerana ia berhampiran Laut China Selatan, berstrategi dan lebih dekat dengan Selat Luzon yang berfungsi sebagai pintu masuk ke Laut China Selatan selain menjadi nadi utama menghubungkan laluan perdagangan ke Asia Timur, Timur Tengah dan Eropah.

Barat dan AS, yang tidak mempunyai kelebihan geografi di rantau ini serta terpalit dengan gangguan dan peralihan fokus di Timur Tengah dan Ukraine, terus gusar dan pantas untuk merapatkan jurang dengan mencari strategi baharu untuk menangkis momentum dan cengkaman sedia ada oleh Beijing.

Usaha ini bakal diberi cabaran dan risiko baharu yang boleh meningkatan risiko konflik besar-besaran di Timur Tengah yang akan memberikan perubahan percaturan kuasa di Indo Pasifik secara amnya.-UTUSAN

PENULIS ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Malaya.

Ulasan