Kenyataan MCCBCHST mengelirukan, jangan campur urusan agama Islam – Mohd Na’im



Kenyataan MCCBCHST mengelirukan, jangan campur urusan agama Islam – Mohd Na’im
DATUK Dr. Mohd. Na'im Mokhtar. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Oleh Siti Maisarah Binti Sheikh Abdul Rahim
6 April 2024, 12:47 pm

PUTRAJAYA: Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) tidak wajar mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pandangan bahawa pindaan akta itu tidak berperlembagaan dan bertentangan Perlembagaan Persekutuan boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.

Dalam hal ini, beliau menasihatkan semua pihak menjunjung tinggi titah Sultan Selangor pada 29 Disember tahun lalu agar rakyat khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Jelas beliau, semua pihak perlu merujuk kepada Fasal (2) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Selaras dengan peruntukan tersebut, Mahkamah Syariah ditubuhkan melalui Akta/Enakmen/Ordinan di Negeri-Negeri.

“Bagi maksud menangani kesalahan di bawah hukum syarak, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang beragama Islam dan hanya berkenaan dengan semua perkara yang termasuk dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Na’im berkata, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan sebagaimana yang dinyatakan dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Selaras dengan peruntukan ini, katanya, Parlimen telah memperbuat Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang memberikan bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Syariah.




“Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang di Negeri-Negeri bagi mewujudkan kesalahan dan hukuman bagi kesalahan oleh orang yang beragama Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

“Walaupun kesalahan jenayah syariah diperbuat oleh Badan Perundangan Negeri, perlu difahami bahawa hukuman bagi kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang Negeri hendaklah dalam had yang diberikan oleh undang-undang persekutuan iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Menurut beliau, cadangn untuk meminda akta ini bertujuan meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah dengan menaikkan kadar hukuman yang pada masa ini hanya terhad kepada pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Katanya, kadar hukuman ini ditetapkan melalui pindaan yang dibuat pada tahun 1984 melalui Muslim Courts (Criminal Jurisdiction) (Amendment) Act 1984 [Act A612].

“Sejak pindaan kali terakhir terhadap had maksimum bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah pada tahun 1984 tersebut, kini telah hampir 40 tahun berlalu, namun kadar hukuman sedia ada yang diperuntukkan dalam Akta itu tidak lagi pernah dipinda.

“Kadar hukuman yang diperuntukkan dalam akta itu didapati sudah tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, cadangan pindaan akta ini tidak boleh ditafsirkan sebagai membenarkan Badan Perundangan Negeri untuk mewujudkan kesalahan dan hukuman berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana, Badan Perundangan Negeri hendaklah tertakluk kepada bidang kuasa perundangan yang diperuntukkan di bawah Fasal (2) Perkara 74 dan butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.



Untuk itu, katanya, cadangan pindaan akta ini tidak akan mengubah kuasa perundangan yang telah pun diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Badan Perundangan Negeri.



“Cadangan pindaan akta ini kepada Akta dibuat melalui sesi libat urus bersama dengan pihak berkepentingan di Negeri-Negeri dan dengan mengambil kira kesemua sudut pandang termasuk aspek undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Apa jua cadangan pindaan yang dibuat kepada Akta ini kelak pastinya adalah di dalam ruang lingkup dan kerangka yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya



Oleh itu, beliau meminta semua pihak memberikan sebarang kenyataan yang bersifat spekulatif dan preamtif berhubung dengan cadangan pindaan akta ini tatkala ia masih belum dibentangkan di Parlimen.

Setelah ia dibentangkan, kesemua ahli parlimen akan diberikan ruang yang secukupnya bagi membahaskan berkenaan pindaan ini.

“Justeru, semua pihak dinasihatkan untuk tidak memberikan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan mahupun mencetuskan kegusaran kepada orang awam,” katanya. -UTUSAN

Ulasan