Kesedaran nasional hanya wujud jika kita semua kuasai bahasa Melayu





Kesedaran nasional hanya wujud jika kita semua kuasai bahasa Melayu
SETIAP warganegara bukan sahaja perlu fasih tetapi harus memahami peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara yang mengikat perpaduan dalam kalangan rakyat.
Oleh Teo Kok Seong
30 April 2024, 8:00 am

WARGANEGARA yang tidak boleh berbahasa negara sama sekali setelah lebih enam dasawarsa negara ini ditubuhkan adalah persoalan nasional yang runcing dan perlu dibincang segera bagi mengatasinya sebaik-baiknya.

Ia tidak boleh lagi dikesampingkan seperti yang berlaku sebelum ini, lebih-lebih lagi sesudah dititahkan Ketua Negara pada kesempatan formal yang pertama setelah baharu sahaja menaiki takhta.

Selain titah itu tidak disahut langsung setakat ini, terdapat pihak tertentu yang cuba menegak benang yang basah dengan mengajukan pelbagai alasan yang bukan sahaja tidak munasabah, juga memperlihat sikap tidak nasional langsung.

Lebih mendukacitakan ialah pihak berkenaan mahu tindakan tertentu diambil ke atas mereka yang membuat teguran tentang permasalahan negara ini. Antaranya siasatan polis terhadap pihak yang bersuara itu kerana dianggap telah menyentuh isu perkauman yang kini menjadi larangan kerana boleh dikategorikan sebagai hasutan.

Sesungguhnya gejala warganegara yang tidak boleh berbahasa Melayu yang merupakan bahasa negara yang sekali gus berperanan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, bukan sesekali perkara kecil lagi remeh, seperti yang mahu diperlihat sesetengah pihak, termasuklah golongan pemimpin.

Malahan ia isu nasional amat serius yang telah menjejaskan pembangunan negara dari segi proses pembentukan negara bangsa untuk berjati diri kebangsaan kental.


Ini kerana bahasa negara ada kaitan yang langsung sifatnya dengan patriotisme, iaitu semangat cinta kepada negara atau setidak-tidaknya dengan nasionalisme, yakni rasa bangga terhadap negara.

Perkaitan ini antaranya wujud dalam bentuk bahasa negara yang mempunyai peranan penting lagi wajib kepada kelangsungan negara berkenaan. Dengan ini, bahasa negara adalah nyawa kepada negara itu dan begitu juga hal sebaliknya, iaitu nyawa negara ikut terletak pada bahasa negara. Oleh itu, bahasa negara harus bermaya pada setiap masa dengan diketahui baik dan digunakan sakan dalam negara berkenaan.

Oleh sebab hal sedemikian, pengetahuan dan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan warganegara Malaysia sepatutnya adalah sesuatu yang begitu nyata selain sangat utama, yakni tanpa perlu disuruh-suruh lagi selain di peringat selalu oleh dan kepada mana-mana pihak. Dengan ini, ia wajib ada pada setiap warganegara, lebih-lebih lagi setelah sekian lama tertubuhnya negara ini.

Namun perkara yang sebaliknya pula yang berlaku. Ia bukan sahaja tidak wujud, juga dipandang enteng oleh semua pihak, termasuklah kerajaan yang sepatutnya tidak sesekali membiarkan perkara ini berlarutan sehingga keadaannya menjadi begitu parah kini. Ini kerana jumlah warganegara yang sebegini bukan sahaja ramai sekali, juga terdiri daripada generasi kini selaku pelapis nanti.

Sesungguhnya hal sebegini sudah dapat dijangka seawal tertubuhnya negara ini oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri kita yang pertama. Almarhum bukan sahaja dapat menduga, malah bimbang sekali akan gejala ini. Untuk ini, Tunku menegaskan kewajipan semua warganegara agar cekap berbahasa negara.

Bagi Tunku, kegagalan berbuat demikian adalah sama serius dengan tiadanya perasaan kesetiaan kepada negara.

Sewajarnya bahasa Melayu bukan sahaja diketahui sebaik-baiknya, juga dikuasai setinggi-tingginya oleh setiap seorang warganegara di segenap pelosok tanah air. Ini kerana sebagai bahasa negara, bahasa Melayu adalah pengikat kuat kepada kesatuan erat lagi utuh untuk Malaysia yang bersatu padu. Ini kerana bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah milik punya semua warganegara dari pelbagai etnisiti, juga di kesemua wilayah yang membinanya.

Selain ini, bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah kewajipan semua warganegara untuk mengetahui dan menguasainya, di samping ada perasaan bangga, sayang dan setia kepadanya. Ini kerana bahasa Melayu adalah petanda luaran sebagai lambang kewujudan negara ini dan lebih penting lagi ialah bahasa Melayu adalah cara utama untuk terus memastikan kelangsungan Malaysia. Dengan ini, kelangsungan Malaysia ikut terletak pada bahasa Melayu.

TANGANI
Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan bersama-sama pelbagai pihak lain menangani isu ini secara serius. Antaranya dalam kerangka bahasa Melayu dan nasionalisme Malaysia. Untuk ini, semua warganegara hendaklah dinasionalkan tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Dalam hal ini, upaya nasionalisme sebagai kuasa positif yang kuat di dunia harus dimanfaatkan sepenuhnya. Ini penting kerana nasionalisme didapati memang berjaya sekali dalam menghasilkan pelbagai manifestasi budaya nasional di seantero dunia.

Isu warganegara tidak boleh berbahasa negara ini hendaklah ditangani dalam kerangka ini. Ia mungkin boleh dimulakan dengan hasrat mewujudkan kesedaran nasional, iaitu perasaan sepunya tentang identiti nasional untuk negara dan identiti budaya untuk warganegara, yang sama-sama difahami untuk didukung oleh semua pihak dalam konteks nasionalisme Malaysia yang bahasa Melayu merupakan unsur utamanya.

Sebenarnya kesedaran nasional adalah langkah pertama ke arah pembentukan komuniti nasional yang bersatu padu, di samping yang terserlah identitinya, sama ada nasional mahupun budaya sebagai jati diri kebangsaan kental pada setiap warganegara pada setiap masa.

Ia tidak lain tidak bukan adalah perasaan keterikatan yang kuat kepada negara tercinta ini, yang antaranya diperlihat melalui pengetahuan baik dan penguasaan tinggi oleh semua warganegara terhadap bahasa Melayu selaku bahasa negara.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Ulasan