Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor calon PN PRK KKB

 


Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor calon PN PRK KKB
April 25, 2024


BATANG KALI: Pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut, 54, dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Pengumuman anak tempatan Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Bharu itu sebagai calon PN itu dilakukan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pengumuman calon yang diadakan di Bandar Utama Batang Kali di Kuala Kubu Bharu awal malam ini.


“Kita adakan mesyuarat majlis tertinggi beberapa hari lepas, kita bincang mengenai calon PN dengan lebih terperinci apakah langkah strategik untuk menang di sini (Kuala Kubu Bharu).

“Dengan ini, saya umumkan keputusan majlis tertinggi PN calon yang bertanding di KKB ialah Khairul Azhari Saut.

Dalam PRK yang dijadualkan pada 11 Mei ini, Khairul akan berdepan Pang Sock Tao dari PH, yang merupakan pegawai kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Selain PN dan PH, Parti Muda Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga menyatakan minat untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu, namun masih belum membuat keputusan sama ada akan meletakkan calon atau sebaliknya.

Khairul yang kini merupakan Pengurus Besar, Global Valley Venture Sdn. Bhd. mendapat pendidikan awal di SK Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Bharu dan SMK Felda Soeharto, Kuala Kubu Bharu, sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (Diploma Eksekutif Pengurusan, 2019) dan Universiti Malaysia Pahang (Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan, 2021).

Sebelum dilantik sebagai Pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, beliau pernah mengisi jawatan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor (2019 -2023) dan Naib Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor (2016 -2019). – HARAKAHDAILY 25/4/2024

Ulasan