Kisah jururawat Malaysia di luar negara




Kisah jururawat Malaysia di luar negara
MUKA hadapan Utusan Malaysia, Khamis 18 April 2024.
Oleh ARIF AIMAN ASROL, YATIMIN ABDULLAH dan JOHANNA MUMTAZ WANPA
19 April 2024, 7:45 am

PETALING JAYA: Jurang gaji yang sangat ketara dan beban luar tugas menjadi antara faktor utama ramai golongan jururawat di Malaysia memilih untuk bekerja di luar negara.

Antara negara menjadi pilihan ialah Singapura, Arab Saudi dan beberapa negara di Asia Barat yang menawarkan gaji serta elaun tinggi, selain beberapa kemudahan lain termasuk rumah percuma kepada mereka.

Selain itu, jururawat di luar negara juga bekerja antara tiga hingga empat hari seminggu dengan jam bekerja yang lebih pendek iaitu 12 jam sehari.

Kata mereka, walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga tetapi dengan pendapatan yang lebih baik, mereka mampu menanggung perbelanjaan keluarga terutama kos pendidikan anak-anak.

Namun, ada juga kekurangan bekerja di luar negara seperti jawatan yang ditawarkan berstatus kontrak yang perlu diperbaharui setiap tahun dan di negara tertentu seperti Singapura, mereka perlu mencari rumah dan kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja.

KISAH 1


Jururawat, Nor Azlina Taib, 41 tahun

Gaji RM21,110.28, tiga bulan bonus

Nor Azlina yang baru bekerja di sebuah hospital di Singapura selama empat bulan, dapat me­rasakan jurang yang ketara antara gaji diterima dan beban tugas yang berkurangan berbanding ketika bekerja di Malaysia.NOR AZLINA TAIB

Katanya, kerjaya di luar negara memberi lebih banyak faedah dan ganjaran sehingga membuatkan lebih ramai jururawat Malaysia ingin berpindah ke luar negara.

“Di Singapura, jururawatnya memang membuat kerja sebagai jururawat sahaja, jadi ini membolehkan kami memberi fokus sebetul-betulnya kepada kejururawatan tetapi di Malaysia pula terlalu banyak tugas paperwork.

“Soal gaji pula terlalu banyak perbezaannya. Sebagai contoh, jururawat yang ada asas kejururawatan elaunnya di Malaysia hanya RM100 sebulan tetapi di hospital yang saya bekerja sehingga SGD 700 (RM 2,462.87).

“Jurangnya besar sedangkan asas kejururawatan ini amat su­sah sebab itu kebanyakan ju­rurawat yang ada kelebihan ini akan berpindah ke luar negara kerana di sana kami dibayar me­ngikut kelayakan,’’ katanya.

Dia menerima tawaran ga­ji sebanyak SGD 6,000 (RM 21,110.28) tidak termasuk elaun dan faedah lain.

“Di luar negara, kuota mengikut kelayakan jururawat banyak. Di Malaysia, ramai jururawat yang ada ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana tetapi kerana alasan kuota, kenaikan gred penuh terhalang.

“Bahagian kejururawatan ju­ga masih dengan kaedah ‘cara lama’ iaitu tidak mahu orang-orang muda yang ada ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana bergerak lebih ke hadapan, kebanyakan masih menggunakan idea lama.

“Kini sudah banyak jurura­wat senior mula meletakkan jawatan untuk bekerja di luar negara terutama Singapura.

“Sekarang ramai jururawat yang senior meletakkan jawatan mereka sebab kalau di Singapura, perkhidmatan selama lima tahun terus melayakkan mereka menerima skim pencen dan dapat wang ganjaran dan bonus pula mengikut hospital.

“Macam di tempat saya, ti­ga kali bonus setahun. Bulan Di­­sember Atypical working sche­me (AWS) sebulan gaji, bulan Januari tengok Indeks Petunjuk Utama (KPI) minimum dan selalunya mereka dapat tiga bulan gaji, bulan April pula setengah bulan gaji,” ujarnya.



Sehubungan itu, Nor Azlina berkata, kerajaan perlu melakukan kajian yang menyeluruh mengenai kebajikan kejurura­watan jika tidak mahu lebih ramai golongan itu berhijrah ke luar negara.

KISAH 2
Jururawat, Zuraini Zainal, 45 tahun

Gaji di Riyadh lebih RM12,000 sebulan

Zuraini memilih Riyadh, Arab Saudi sebagai lubuk mencari rezeki kerana gaji yang ditawarkan di sana jauh lebih berbaloi berbanding Malaysia.

“Saya berasal dari Perak dan sudah lima tahun berada di negara ini. Kini saya mampu memperoleh pendapatan empat kali ganda dengan melakukan kerja yang sama di hospital tempatan.

“Kos sara hidup tinggi dan nilai mata wang yang semakin rendah membuatkan saya berasa tertekan dengan pendapatan yang saya terima sebelum ini. Gaji yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung ke­perluan keluarga.

“Sebelum ini, gaji saya di Malaysia tidak melebihi RM4,000 sebulan namun di Arab Saudi, pendapatan saya mampu mencecah 10,000 riyal atau le­bih RM12,000 sebulan.

“Jadi saya memilih untuk berjauhan daripada keluarga kerana ingin memberi bantuan kewangan yang lebih stabil bagi menanggung perbelanjaan keluarga terutama kos pendidikan anak-anak,” katanya ketika dihubungi.

KISAH 3

Jururawat, Zara, 37 tahun

Bekerja hanya tiga atau empat hari seminggu

Zara berkata, dengan pendapatan bulanan mencecah RM17,000 ter­masuk elaun dan waktu be­kerja empat hari se­minggu, menjadikan Arab Saudi sebagai destinasi terbaik sebagai jururawat meneruskan kerjaya mereka.

“Jururawat yang mempunyai pengalaman kerja lima tahun dan ke atas mampu memperoleh gaji bulan melebihi RM20,000.

“Kebanyakan jururawat Malaysia ditempatkan di hospital kerajaan dan universiti.

“Mena­riknya, kesemua mereka yang bertugas di sini diberikan rumah dan pengangkutan secara percuma untuk berulang alik ke tempat kerja,’’ katanya.

Selain itu, kata Zara, mereka hanya perlu bekerja antara tiga hingga empat hari seminggu sahaja dengan waktu bekerja sekitar 12 jam sehari.

“Jururawat Malaysia yang be­kerja di negara sini ditawarkan kontrak selama setahun dan ke­bia­saan diperbaharui setiap ta­hun.

“Sebelum ini ada dalam kala­ngan rakyat tempatan yang me­langgar perjanjian dengan be­kerja dua tahun berbanding tiga tahun.

“Terbaharu, selain Arab Saudi ada juga dalam kalangan rakan-rakannya yang memilih untuk be­kerja di Singapura selepas negara ber­kenaan membenarkan jururawat memakai tudung.

“Bagaimanapun individu yang bekerja di Singapura perlu mencari penempatan dan kenderaan sendiri untuk ke tempat kerja,” ceritanya. –UTUSAN

Ulasan