Kita buka pintu pejabat 25 jam sehari untuk diperiksa

Kita buka pintu pejabat 25 jam sehari untuk diperiksa’

April 25, 2024
Mohd Shukri Ramli
KANGAR: “Kita buka pintu pejabat 25 jam sehari untuk diperiksa,” kata Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli ketika memberi ucapan pada penggulungan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Katanya, sejak tiga hari ini Perlis panas sebab dihadiri oleh sahabat dari Putrajaya iaitu Bahagian Operasi Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Rakyat Perlis ada lapan orang, depa mai ambik enam tinggal lagi dua,” katanya.
Ujarnya, beliau terbuka menerima kehadiran mereka jika didapati ada unsur penyelewengan dan perkara tidak baik.
“Bagi saya, kita terbuka, dalam ucapan sidang DUN masa awal dulu saya kata pejabat saya 25 jam setiap hari dibuka jika ada penyelewengan dan unsur tidak baik.
“Kelemahan saya terlalu baik dan beri kepercayaan kepada semua orang.
“Tidak ada sesiapa yang kebal dari undang-undang, termasuk saya. Jika ada salah guna kuasa kena ambik tindakan dan salah seorang yang diambil ialah anak saya,” tambahnya lagi
Menurut Shukri, penahanan reman anaknya akan disambung sehingga esok.
“Mereka (SPRM) datang pagi kelmarin, geledah rumah dan PASTI tetapi tidak jumpa apa-apa.
“Saya ucap terima kasih kepada SPRM, mereka datang 100 orang lebih, hari ini mereka pergi ke pusat-pusat khidmat DUN, pi la, kita buka pintu.
“Lepas ini tak da lagi dah, insya-Allah besok jika tiada apa-apa mereka semua akan dibebaskan, kalau ada yang sangkut itu pembersihan,” katanya lagi.
Baginya, perkara yang berlaku itu sebagai ujian dan beliau serta keluarga tiada gundah gulana dan kekal tenang.
“Ujian yang datang ini saya akan hadap, saya dah bagi pendidikan dan ilmu. Saya tidak ada rasa gundah gulana, saya boleh lagi bertahan.
“Saya juga tiada prasangka buruk sehingga mereka habis siasatan,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 25/4/2024

Ulasan