Nilai kerosakan infrastruktur di Gaza kira-kira AS$18.5 bilion



Nilai kerosakan infrastruktur di Gaza kira-kira AS$18.5 bilion
KERETA tempur tentera Israel bergerak di sepanjang sempadan dengan Gaza dan selatan Israel, kelmarin.-AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
4 April 2024, 9:15 am

WASHINGTON: Bank Dunia mendedahkan perang Israel-Hamas menyebabkan nilai ke­rosakan kira-kira AS$18.5 bi­lion (RM87.931 bilion) kepada infrastruktur Gaza.

Ini bersamaan dengan 97 pe­ratus daripada gabungan keluaran ekonomi Tebing Barat dan Gaza pada 2022, kata Bank Dunia dalam penilaian kerosakan sementaranya yang meliputi tempoh antara bermulanya konflik pada 7 Oktober tahun lalu dan akhir Januari lepas.

Laporan itu yang dihasilkan bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Eropah mendapati kerosakan struktur menjejaskan setiap sektor ekonomi dengan lebih 70 peratus daripada anggaran kos akibat kemusnahan perumahan.

Perang Gaza paling berdarah pernah meletus dengan sera­ngan Hamas pada 7 Oktober lalu yang mengakibatkan kira-kira 1,160 kematian kebanyakannya orang awam di Israel, menurut pengiraan AFP.

Kempen balas dendam Israel membunuh sekurang-kurang­nya 32,916 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.

Pengeboman tentera Israel selepas serangan itu dan operasi darat yang berterusan di dalam Gaza menyebabkan banyak kawasan wilayah itu menjadi runtuhan, mewujudkan anggaran 26 juta tan serpihan.


“Bagi beberapa sektor, kadar kerosakan nampaknya semakin berkurangan kerana beberapa aset kekal utuh,” kata bank berkenaan.

Di sebalik kerosakan struktur, laporan itu juga mendapati bahawa lebih separuh daripada penduduk Gaza berada di ambang kebuluran dengan seluruh penduduk mengalami ketidakamanan makanan yang teruk dan kekurangan zat makanan.

Dianggarkan 84 peratus kemudahan kesihatan Gaza rosak atau musnah manakala tiga perempat daripada penduduk kehilangan tempat tinggal akibat pertempuran, menyebabkan lebih sejuta orang kehilangan rumah.

Laporan itu yang dibuat menggunakan sumber pe­ngumpulan data jauh mendapati bahawa sistem air dan sanitasi Gaza hampir runtuh dan menyebabkan kurang daripada lima peratus daripada pengeluaran sebelum perang.

100 peratus kanak-kanak Gaza tidak bersekolah kerana keruntuhan sistem pendidikan manakala 92 peratus jalan utamanya sama ada musnah atau rosak, menurut Bank Dunia.

Laporan itu menggesa pe­ningkatan dalam bantuan kemanusiaan, bantuan makanan dan pengeluaran makanan termasuk penyediaan tempat tinggal – AFP

Ulasan