PAS Pahang serah ‘blue print’ hadapi PRU16




PAS Pahang serah ‘blue print’ hadapi PRU16
April 23, 2024


ROMPIN: PAS Pahang selesai menyerahkan blue print menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kepada jentera parti dalam sesi taklimat Pelan Tindakan Strategik (PTS) PAS negeri berlangsung serentak di tiga zon, kelmarin.


Beberapa perkara penting berkait PTS dibentang secara terperinci untuk diambil tindakan oleh para petugas bagi meneruskan agenda parti khususnya menghadapi PRU16.

Perkara-perkara intu telah dibincang dan diluluskan pada sesi pemukiman PAS Pahang yang berlangsung di Kompleks Tahfiz Al-Quran Al-Qaradhawi (KOMTAQ), Kuala Krau, Januari lalu.

Bagi zon timur, program berlangsung di Kompleks Tahfiz Istiqamah, Alai, Rompin dihadiri wakil PAS negeri dan pimpinan kawasan Pekan, Kuantan, Paya Besar, Indera Mahkota dan Rompin selaku tuan rumah.

Bersempena dengan berkumpulnya semua pimpinan zon timur di kawasan Rompin, Dewan Pemuda PAS Pahang yang diketuai oleh Ustaz Zarimi Shubrawi turut mengadakan mesyuarat exco, usrah dan aktiviti kebajikan mengisi jelajah eksplorasi bulanannya di Rompin.

Pesuruhjaya PAS Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Tanjung Lumpur, Ustaz Rosli Abdul Jabar dalam ucapan penutupan berharap PTS dapat memandu para petugas bekerja merealisasikan cita-cita PAS Teraju Pahang pada PRU16 nanti.

Dalam perkembangan sama, PTS zon tengah yang berlangsung di Kompleks Al Ikhwan PAS Kawasan Bera dihadiri peserta dari kawasan Bera, Temerloh, Jerantut, Kuala Krau dan Maran.

Pembentangan dilakukan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu yang juga pengerusi pasukan PTS PAS negeri.

Sementara itu, di zon barat pula program sama diadakan di Dewan Abdullah Sani, Kompleks al-Istiqamah PAS Kawasan Lipis di Kampung Berembang.

Sekitar 130 orang peserta dari empat kawasan Pahang barat iaitu Lipis, Cameron Highlands, Raub dan Bentong hadir mendengar taklimat dan sesi pembentangan disampaikan Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Dr Mohd Notfi Ibrahim.

Program itu turut dihadiri Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Aireroshairi Roslan dan Pengarah Pilihan Raya PAS negeri, Hamdan Abdullah.

Program berakhir dengan penyerahan dokumen PTS kepada semua setiausaha PAS kawasan mencakupi zon tengah dan timur. – HARAKAHDAILY 23/4/2024

Ulasan