Penahanan Akmal Salleh bersifat pilih kasih




Penahanan Akmal Salleh bersifat pilih kasih
April 6, 2024

KUALA LUMPUR: Penahanan Ketua Pengerakan Pemuda Umno Malaysia, Dr Muhamad Akmal Salleh membuktikan Kerajaan Madani bersifat pilih kasih.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, situasi tersebut hampir serupa dengan apa yang berlaku kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada tahun lalu.

“Saya benar-benar terkejut dengan berita penahanan Dr. Akmal Salleh di Kota Kinabalu semalam dan persoalannya mengapa perlu bersifat pilih kasih (double standard)?” soalnya.

Menurut beliau, Dr. Akmal dijadualkan untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wang hari ini.

Tambah beliau, tidak mungkin walaupun sekali Akmal akan lari atau ingkar daripada melakukan perkara sedemikian.

“Saya benar-benar amat tidak bersetuju dengan tindakan double standard sebegini ke atas sesiapa pun,

“Tindakan sepatutnya diambil dengan tegas keatas pihak yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan bersifat perkauman, tidak menjaga sensitiviti agama atau menghina Institusi Diraja.

“Namun begitu, sejak belakangan ini tindakan campur tangan dalam urusan hal ehwal agama Islam serta tindakan berunsur menghina Institusi Diraja Pahang pun masih lagi tidak diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa,” ujarnya.

Beliau menyatakan masalah-masalah sebegitu adalah jelas menyentuh isu 3R yang berpotensi menggugat ketenteraman awam yang perlu disiasat secara adil dan saksama.

“Jadi, saya nak menyatakan sekali lagi kepada kerajaan Madani supaya jangan sesekali pun bertindak mengenai isu sebegini secara double standard!” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2024

Ulasan