Pengurusan perubahan iklim tuntut kerjasama strategik kerajaan, swasta




Pengurusan perubahan iklim tuntut kerjasama strategik kerajaan, swasta
Oleh Dr Nik Nor Rahimah Nik Ab Rahim - April 24, 2024 @ 8:41am
MENCAPAI kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab bersama bagi mengekalkan kualiti alam sekitar jangka masa panjang. Ia membabitkan inisiatif untuk menyeimbangkan antara eksploitasi dan pemuliharaan alam sekitar supaya generasi masa kini serta masa hadapan dapat sama-sama menikmati manfaat alam sekitar.

Kelestarian alam sekitar adalah satu daripada aspek Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), merangkumi aspek alam sekitar, ekonomi dan sosial. Ketiga-tiga aspek kelestarian ini saling berhubungkait, sekali gus memerlukan peranan bersama pelbagai pihak untuk mencapainya.

Dalam menongkah arus perubahan sosial dan ekonomi terhasil daripada proses urbanisasi serta perkembangan ekonomi melalui pelbagai sektor, kawasan setempat mulai berasakan perubahan cuaca. Sebagai contoh, pertambahan penduduk di bandar akan menggiatkan lagi ekonomi setempat, seterusnya ekonomi negara.

Perkembangan aspek sosial dan ekonomi ini adalah petunjuk baik untuk meningkatkan kualiti hidup individu mahupun negara. Namun, adakah perkembangan ini memadai untuk kelestarian alam sekitar.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Perkembangan sosial dan ekonomi tanpa cakna terhadap alam sekitar boleh mendatangkan musibah kepada alam sekitar. Musibah paling terkesan dan sedang dirasai sekarang adalah perubahan cuaca.

Asal-usul isu perubahan cuaca masa kini berkait rapat dengan pengembangan aktiviti ekonomi seperti percambahan sektor pembuatan, perlombongan, pertanian dan perkhidmatan.


Perkembangan aktiviti ekonomi lazimnya membabitkan eksploitasi sumber asli dan pembuangan sisa buangan berlebihan. Peningkatan suhu kerana penggondolan hutan untuk pembukaan kawasan baharu menyebabkan ketidakstabilan atmosfera mendorong kepada kejadian ribut petir.

Pelepasan gas rumah hijau dari industri pembuatan menyebabkan peningkatan suhu setempat. Penghasilan jubin marmar daripada tarahan bukit bukau mendedahkan kawasan penempatan dengan angin ribut. Pelepasan sisa buangan mengandungi bahan kimia dari industri mencemarkan sungai.

Musibah cuaca ini nampak kecil jika berlaku di skala setempat, namun jika berlaku jangka masa panjang secara berterusan, maka semakin banyak perubahan cuaca berlaku. Kini negara menerima musim hujan berlanjutan, kejadian ribut petir lebih kerap, hujan lebat menyebabkan banjir dan fenomena panas melampau.

Perubahan cuaca ini tidak asing bagi negara rancak aktiviti ekonominya pada skala besar, akan membabitkan perubahan secara global lebih dikenali sebagai perubahan iklim.

Kelestarian alam sekitar untuk masa depan

Kita tidak dapat menyekat perkembangan sosial dan ekonomi demi manfaat kualiti hidup generasi masa kini dan masa hadapan. Namun, kita juga memerlukan kelestarian alam sekitar supaya manfaat alam sekitar dapat dinikmati untuk jangka masa panjang.

Bagi mencapai kelestarian alam sekitar bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan cantuman idea, inisiatif dan kerjasama pelbagai pihak. Definisi pelbagai pihak ini merujuk kepada semua yang terbabit dalam mencapai objektif kelestarian alam sekitar.

Mereka adalah golongan mempunyai peranan tersendiri, seperti kerajaan selaku pembuat dan pelaksana dasar negara, pihak industri sebagai pemangkin ekonomi negara, pertubuhan selaku penggerak inisiatif dan masyarakat.

Kerajaan adalah lapisan teratas organisasi sesebuah negara yang akan menentukan hala tuju pembangunan negara. Pada 1970-an, kekayaan sumber asli dan ketersediaan tenaga kerja membolehkan Malaysia berkembang dalam industri pembuatan.

Sebagai langkah pengawalan pencemaran alam sekitar, kerajaan menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengekang isu pencemaran terhasil daripada kebanyakan industri.

Dasar kerajaan juga secara umumnya, melalui Rancangan Malaysia diperbaharui setiap lima tahun bagi menyaingi cabaran semasa. Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan memberi penekanan kepada agenda pembangunan hijau bagi memastikan perancangan pembangunan negara mengambil kira kelestarian alam sekitar.

Tidak lagi menjadi penggalas utama tanggungjawab, kerajaan mengalih strategi perancangan menuju kelestarian alam sekitar dengan penyertaan lebih meluas pihak industri, pertubuhan dan masyarakat.

Pelbagai program dilaksana

Kerajaan mengadakan pelbagai program bagi menyeimbangkan perkembangan alam sekitar, sosial dan ekonomi. Antara program terkini dilaksanakan adalah kempen 'Penanaman 100 Juta Pokok' yang mendapat sambutan pelbagai industri menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Program 'Rakan Alam Sekitar' pula adalah inisiatif untuk membabitkan masyarakat dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar dengan memberi mereka platform membuat aduan mengenai pencemaran dan puncanya seperti pelupusan haram sisa buangan, pencemaran air, udara dan alam.

Penyerahan tanggungjawab kepada pelbagai pihak mengurangkan tekanan kepada kerajaan dalam usaha mencapai kelestarian alam sekitar, lebih-lebih lagi dalam menyaingi cabaran perubahan iklim.

Pihak industri menjadi lebih proaktif dalam pengurusan kendiri seperti pengawalan pelepasan gas rumah hijau dan sisa buangan. Disamping memenuhi matlamat utama mencari keuntungan dalam perniagaan, mereka juga rancak menggalas tanggungjawab korporat melalui pelbagai projek CSR untuk melindungi alam sekitar dan menjamin kehidupan sosial.

Sebenarnya, masih banyak lagi ruang untuk menggalakkan kerjasama pelbagai pihak dalam mencapai kelestarian alam sekitar antaranya dengan pelaksanaan menyeluruh prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Kerajaan (ESG) dalam industri, pengenalan cukai karbon yang bukan sahaja menambah pendapatan negara malah merealisasikan misi negara bebas karbon menjelang 2050.

Apa yang pasti, kelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab bersama lebih-lebih lagi dalam menyaingi cabaran perubahan iklim. Kerjasama setiap pihak akan menerapkan budaya kelestarian bagi mengekalkan kualiti alam sekitar untuk generasi hari ini dan akan datang.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM

Ulasan