Peruntukan pembangkang: PAS Pahang junjung kasih Tuanku


Peruntukan pembangkang: PAS Pahang junjung kasih Tuanku
April 2, 2024

KUANTAN: PAS Pahang menjunjung kasih Tuanku susulan titah ucapan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah baru-baru ini, berkenaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang harus diberikan peruntukan yang lebih adil.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, Pemangku Raja Pahang pada ketika itu Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga pernah bertitah berkaitan perkara yang sama, pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang yang lalu.

“Berikutan itu, YAB Menteri Besar Pahang pula mengeluarkan kenyataan bahawa peruntukan telah diberikan kepada ADUN pembangkang.

“Kenyataan yang tidak lengkap ini saya kira telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, seolah-olah ADUN pembangkang telah pun menerima peruntukan sepenuhnya seperti ADUN kerajaan, sedangkan perkara sebaliknya berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, beliau ingin menjelaskan bahawa apa yang kerajaan negeri telah salurkan sebanyak RM30,000 setahun untuk projek pembangunan di kawasan pembangkang hanya diuruskan oleh pejabat daerah, bukan diberikan kepada pihak pembangkang.

“Pihak pembangkang hanya menentukan jenis dan lokasi projek, dan peruntukan yang diberikan itu pula bermula menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai tahun lalu.

“Yang kedua, Bantuan Ramadan sebanyak RM5,000 yang perlu disalurkan kepada rakyat melalui pembangkang dan perlu menghantar semua resit perbelanjaan sepanjang Ramadan untuk semakan kerajaan negeri.

“Ini juga bermula tahun lalu dan tiada lagi peruntukan yang diberikan selepas itui,” jelasnya.

Tambah beliau, kenyataan Menteri Besar Pahang yang tidak lengkap itu seolah-olah menggambarkan bahawa kerajaan negeri telah pun menyalurkan peruntukan sepenuhnya kepada pembangkang.

“Kenyataan ini sudah pastinya akan menimbulkan salah faham rakyat terhadap ADUN pembangkang, seolah-olah ADUN pembangkang tidak menyalurkan bantuan kepada rakyat di bawah DUN masing-masing, sedangkan tiada peruntukan yang sewajarnya diberikan oleh kerajaan untuk membantu mereka,” tegasnya.

Sehubungan itu, Rosli menyatakan, “Berikutan dengan titah ucapan Tuanku Sultan Pahang, saya yakin apa yang diperoleh ADUN pembangkang telah pun berada dalam pengetahuan Tuanku dan Tuanku Sultan melihat hal ini adalah sesuatu yang tidak relevan dan menyukarkan ADUN pembangkang yang telah dipilih oleh rakyat tempatan untuk berkhidmat dengan lebih baik sehingga Tuanku Sultan bertitah sedemikian,” hujahnya.

Seterusnya Rosli berkata, beliau mewakili ADUN pembangkang Pahang menjunjung kasih atas ucapan tersebut.

“Semoga keprihatinan Tuanku terhadap kami dan penegasan Tuanku supaya kerajaan negeri dapat menegakkan keadilan kepada semua wakil rakyat termasuk kepada pembangkang, menjadikan kerajaan negeri Pahang di bawah pemerintahan Tuanku sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/4/2024

Ulasan