Pilih sasterawan negara sebab kualiti bukan politik, kaum



Datuk Seri A Samad Said, adalah Sasterawan Negara keempat dan sehingga kini tekal berkarya selain karyanya sentiasa mendapat tempat di hati pembaca juga sarjana. - Foto hiasan/Arkib NSTP

Pilih sasterawan negara sebab kualiti bukan politik, kaum
Oleh Hafizah Iszahanid - April 15, 2024 @ 11:40am
KUALA LUMPUR: Baru-baru ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat Anugerah Sastera Negara (ASN) tidak menolak kemungkinan tiada sasterawan negara ke-16 dinamakan jika panel berpendapat tidak ada calon yang layak untuk dinobatkan.

Hal ini menarik perhatian khalayak sastera namun bagi Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Abd Halim Ali, jika hal itu berlaku, ia tidak boleh mengambil tempoh masa senggang yang panjang kerana dibimbangi akan memberi kesan tidak sihat kepada landskap sastera tempatan.

Abd Halim berkata, jika pemilihan sasterawan negara itu sepenuhnya bergantung pada kriteria dan syarat-syarat yang ditetapkan, pandangan DBP itu boleh diterima.

"Namun jangan ambil jarak terlalu lama. Perlu ada pertimbangan pilihan yang dapat memenuhi tuntutan Anugerah Sastera Negara dengan tidak menggadai apa-apa prinsip asas penganugerahan," katanya.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Prof Abd Halim Ali. - Foto fail NSTP



Tambah Abd Halim, ASN yang membawa gelaran sasterawan negara kepada penerimanya itu adalah kemuncak pengiktirafan tertinggi negara kepada pengarang secara khusus dalam bidang kesusasteraan.


Justeru, pengiktirafan itu katanya sangat wajar diiringi dengan keberhasilan karya-karya yang bermutu dan berupaya mengedepankan wajah keilmuan tinggi menerusi wadah sastera.

Katanya, bukan itu sahaja, penerima anugerah juga seharusnya dapat menjadikan dirinya figura nasional yang terhormat dan dihormati dalam bidangnya.

"Pengiktirafan ini tidak sekadar mengangkat tokoh penerimanya sahaja, tetapi inti pemikiran yang lahir daripada karya-karyanya itu juga dapat diterima dan meninggalkan kesan kemenjadian serta menjadi sumber rujukan pembaca yang merentas kepelbagaian bahasa, budaya dan kaum di negara ini khasnya,"katanya.

Namun tegas Abd Halim, walaupun landskap sastera tempatan mempunyai barisan pengarang yang berkualiti, bagaimanapun disebabkan tabiat membaca yang kurang dalam kalangan rakyat Malaysia, kehebatan mereka hanya diketahui oleh segelintir orang sahaja.

"Biasanya hanya segelintir ahli masyarakat yang sudah biasa membaca naskhah sastera atau berada dalam lingkungan dunia penerbitan saja yang mengenali penulis dan karya yang dihasilkan.

"Hal ini menjelaskan karya dan pengarang tidak dimasukkan dengan penuh upaya ke dalam lingkungan masyarakat pembaca umum di negara ini.

" Bagi saya, karya-karya pengarang berlegar dalam lingkungan ahli masyarakat yang sama saja dan kurang melata kepada masyarakat umum," katanya.

Justeru tegasnya, golongan remaja di peringkat sekolah menengah, misalnya di Tingkatan Enam dan pelajar di universiti wajar diberi pendedahan berterusan dengan karya-karya sastera dan figura pengarangnya sekali.

Pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Puncak Perdana, Prof Madya Dr Nasirin Abdillah. - Foto ihsan Dr Nasirin



Sementara itu, Pensyarah Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Puncak Perdana, Prof Madya Dr Nasirin Abdillah, berkata ASN meskipun pengiktirafan tertinggi dunia sastera, tetapi ia seharusnya tidak bermatlamatkan memperbanyak jumlah individu bergelar sasterawan negara malah tidak harus memenuhi keperluan tahun.

Namun katanya, sebarang kelompongan juga perlu ditangani kerana perkara ini menampakkan seolah-olah kita ketandusan kreativiti dan kelemahan dalam memartabatkan kesusasteraan.

"Saya berpendapat tidak perlu pun ASN ini dibuat setiap tahun, mungkin boleh dibuat dalam tempoh tiga atau empat tahun sekali.

"Selain itu perlu diadakan kajian untuk mendapatkan pandangan khalayak mengenai calon-calon sebelum keputusan pemenang diumumkan supaya nampak ketelusan dalam perkara ini.

" Begitu juga dengan panel-panel yang dilantik, perlu didedahkan kepada umum dan seterusnya laporan penuh panel dalam menobatkan seseorang tokoh menjadi sasterawan negara," katanya

Katanya, kriteria asas pemilihan sasterawan negara haruslah bersesuaian dengan cakupan penilaian karya, sumbangan pemikiran berkaitan dunia sastera, dan kegiatan yang mendorong ke arah pembinaan serta pengembangan sastera kebangsaan.

Namun tegasnya apa yang mustahak haruslah berasaskan ketinggian mutu dan nilai karya.

"Ramai yang menepati kriteria soal pemikiran berkaitan dunia sastera serta kegiatan yang mendorong pada pembinaan dan pengembangan sastera kebangsaan, malah prolifik dengan kuantiti karya yang banyak, tetapi karya yang dihasilkan kurang bermutu dan tidak bernilai tinggi," katanya.

Nasirin turut mengakui kebelakangan ini wujud pertikaian setiap kali sasterawan negara dinamakan. Bagaimanapun hal itu katanya perkara normal kerana khalayak sastera dan masyarakat bebas memberi pandangan.

"Namun panel jugalah yang lebih arif dalam hal ini.

"Bagaimanapun, panel tidak seharusnya dipengaruhi oleh kepentingan politik pemerintah, memenuhi keperluan kuota kaum atau bangsa malah hambatan muhibah.

"ASN itu hendaklah berdasarkan ketinggian wibawa dan mutu karya seseorang tokoh, bukan untuk memenuhi apa-apa keperluan motif yang menyimpang daripada hakikat wibawa kesusasteraan itu sendiri.

"Pertikaian dan rasa tidak puas hati dalam kalangan khalayak sastera dan masyarakat akan timbul sekiranya ASN ketara menyimpang, semata-mata memenuhi telunjuk politik, atau ingin mengambil hati mana-mana kaum," katanya.

Tegas Nasihin, ASN adalah terbuka dan seharusnya menobatkan pengarang yang layak tanpa mengira kaum sekiranya individu itu terbukti kreativitinya dalam bahasa kebangsaan adalah pada tahap tinggi mutu dan nilainya.

"Maka pemilihan panel untuk ASN yang sebenarnya perlu diberikan perhatian yang amat serius dan berhati-hati," katanya.

Ulasan