Pindaan lulus, Bersatu ambil langkah susulan – Hamzah



Pindaan lulus, Bersatu ambil langkah susulan – Hamzah
HAMZAH ZAINUDDIN
Oleh FITRI NIZAM
2 April 2024, 8:41 pm

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil beberapa langkah susulan bagi memastikan segala tindakan parti itu selepas ini mengikut lunas perlembagaan dan undang-undang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya merakam ucapan terima kasih kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selepas meluluskan pindaan perlembagaan parti tersebut.


Menurutnya, pindaan perlembagaan tersebut diluluskan secara sebulat suara dalam Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) Bersatu pada 2 Mac lalu.

“Beberapa langkah susulan akan diambil bagi memastikan segala tindakan selepas ini akan mengikut perlembagaan dan undang-undang.

“Pada masa yang sama, proses pemerkasaan parti sedang dilunaskan dan insya-Allah, Bersatu serta Perikatan Nasional akan kekal menjadi suara serta pilihan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan bahawa RoS telah meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu semalam.


Kelulusan tersebut, menurutnya, membolehkan Bersatu untuk mengambil tindakan terhadap enam ahli Parlimennya yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – UTUSAN

Ulasan