PN berjaya ‘tangkap mood’ pengundi Melayu dari awal




PN berjaya ‘tangkap mood’ pengundi Melayu dari awal
April 29, 2024

Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yakin bahawa PERIKATAN NASIONAL (PN) telah meletakkan calon yang diyakini akan menang pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuala Kubu Baharu (KKB) kelak.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, menurut demografi pengundi, Melayu majoriti pengundi sebanyak 46.4 peratus diikuti dengan kaum Cina (30.7 peratus), India (18 peratus), serta lain-lain sebanyak lima peratus.


“Berdasarkan mood pengundi Melayu, mereka lebih selesa memilih calon Melayu, dan bagi penyokong Umno.. mereka agak alergik dengan DAP iaitu calon Cina berbanding calon Melayu walau apa parti sekali pun.

“PN telah berjaya ‘menangkap’ mod pengundi Melayu pada seawal penamaan calon. Ini adalah keistimewaan kepada PN. Sekiranya 80 peratus pengundi Melayu keluar mengundi…keputusan PRK KKB akan berubah kepada PN,” katanya kepada HarakahDaily.

Undian kaum India sangat penting
Menurut Mohd Zai, undian oleh kaum India sangat penting dan menjadi penentu kepada PN dan PH di PRK KKB kali ini.

“‘Swing’ undi India tujuh peratus sahaja akan membolehkan PN menang. Ini tidak mustahil berlaku kerana kaum India memang tidak gemar kepada PH sejak mutakhir ini.

“Ini boleh diusahakan dengan menjalinkan kerjasama politik dengan objektif yang sama mengalahkan DAP-PH di KKB,” tegasnya.

Oleh demikian, katanya, pemimpin PN dan pemimpin kaum India wajar segera untuk mempamerkan kerjasama sebelum terlambat.

“Kempen memujuk dan merayu pengundi Umno boleh dilakukan dengan baik oleh pemimpin Umno Selangor seperti bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan aktivis politik rakyat, Hizatul Isham Abdul Jalil.

“Dua tokoh ini cukup berpengaruh bagi meyakinkan pengundi Umno yang menyokong PN dan menolak calon Umno. Jika ini berlaku.. PN akan berada di hadapan dan mampu mengubah keputusan mengalahkan DAP di kubu mereka,” katanya.

Tambah beliau, kegagalan kerajaan Madani gagal menunaikan segala janji pilihan raya yang lalu setelah lebih setahun mereka memerintah.

“Lebih memedihkan lagi.. emosi dan jiwa rakyat, serta pelbagai lagi isu, ancaman kepentingan Melayu dan Islam sering menimbulkan kegusaran dan keharmonian kaum di negara ini.

“Bagi masyarakat awam dan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam, calon yang ditampilkan sudah cukup memenangi sokongan pengundi KKB ditambah lagi (calon dari) tempatan yang berkaliber serta profesional.

“PN telah menampilkan calon yang terbaik kepada pengundi KKB, saya yakin pengundi KKB khususnya Melayu akan memberi sokongan dan dokongan penuh tanpa ragu kepada calon ini dan seterusnya memberikan kemenangan kepada anak calon tempatan ini,” katanya.

Terdahulu, Pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon PN bagi PRK DUN KBB.

Khairul Azhari, 54, yang juga anak tempatan merupakan seorang ahli perniagaan dan pernah menggalas tugas sebagai Ahli Majlis Daerah Hulu Selangor. – HARAKAHDAILY 29/4/2024

Ulasan