PN optimis rampas DUN Kuala Kubu Bharu


PN optimis rampas DUN Kuala Kubu Bharu
April 1, 2024

KUALA LANGAT: Perikatan Nasional (PN) optimis bakal merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lepas akibat kanser ovari yang dialami beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Muiz Mahyuddin berkata, calon PN yang bakal dipilih untuk bertanding kelak ialah yang memiliki imej bersih, kredibiliti, dan kewibawaan untuk menjadi pemimpin.

“Kita akan memastikan kestabilan dalam kepimpinan Perikatan Nasional, lebih-lebih lagi di negeri Selangor ini,” katanya yang ditemui HarakahDaily dalam dalam majlis pecah tanah bagi pembinaan Kompleks Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, di sini, semalam.

Menyentuh mengenai isu peralihan undi kaum Cina kepada PN berikutan situasi ekonomi dan politik di bawah Kerajaan Madani, beliau percaya masyarakat Cina di DUN tersebut semakin bijak dalam membuat pilihan undi mereka.

“Apa yang mereka lihat bukan lagi mengenai dominan sesebuah parti, tetapi mereka ingin lihat prestasi (parti) sebenarnya.

“Kalau kita lihat, ramai dalam kalangan masyarakat Cina sudah mula menilai bagaimana prestasi Perikatan Nasional di negeri Selangor ini yang dilihat lebih terkehadapan.

“Oleh itu, saya yakin pengundi-pengundi Cina di DUN Kuala Kubu Bharu akan memilih calon daripada Perikatan Nasional yang dilihat lebih bersedia untuk menjadi sebuah kerajaan suatu hari nanti, insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/4/2024

Ulasan