Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto BH
Oleh Faris Fuad - April 18, 2024 @ 6:28pm
KUALA LUMPUR: Kritikan beberapa pihak termasuk Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) bahawa prosiding permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh Datuk Seri Najib Razak mengenai kewujudan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 dijalankan secara rahsia, tidak tepat sama sekali.
Peguam bela Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, menasihatkan mana-mana pengkritik supaya menyemak undang-undang berkaitan sebelum memperlekeh pihak lain, termasuk mahkamah dalam perkara ini.
"Untuk meletakkan isu ini dalam konteks, prosiding itu semalam dijadualkan untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman dan bukan pendengaran substantif itu sendiri.
"Menurut Aturan 53 Kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, permohonan untuk kebenaran mesti dibuat secara 'ex-parte' (sebelah pihak) kepada hakim dalam kamar.
DISYORKAN UNTUK ANDA
"Perkataan mesti menunjukkan bahawa proses ini adalah wajib untuk menjadi pendengaran secara kamar dengan orang ramai tidak dibenarkan untuk duduk dalam mahkamah dan ini termasuk pemohon sendiri iaitu Najib yang tidak hadir ketika itu," katanya pada BH, hari ini.
Terdahulu, BERSIH menegaskan prosiding kebenaran semakan kehakiman oleh bekas Perdana Menteri itu perlu dibuat secara terbuka.
Gabungan itu berkata, adalah menjadi keperluan untuk kes itu dibuat secara terbuka dan telus kepada umum kerana membabitkan individu berprofil tinggi serta dana awam seperti yang diputuskan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.
BERSIH juga mempersoal tindakan pendakwaan yang tidak membuat bantahan terhadap permohonan itu dan perlu menjelaskan kepada orang ramai alasan munasabah berhubung tindakan mereka.
Semalam, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan perbicaraan dalam kamar bagi kes semakan kehakiman supaya Najib menjalani tahanan rumah untuk menghabiskan baki hukuman penjara selama enam tahun.
Susulan itu media tidak dapat melaporkan prosiding itu.
Hakim Datuk Amarjeet Singh, membenarkan permohonan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, supaya prosiding terbuka permohonan itu ditukar ke perbicaraan secara dalam kamar.
Muhammad Farhan berkata, prosiding terbuka di mahkamah secara dalam kamar sering dijalankan sejak penularan COVID-19 bagi memudahkan penjarakan sosial.
Oleh itu, beliau berkata permintaan pembelaan Najib supaya orang ramai dikecualikan daripada mengikuti prosiding itu selaras dengan peraturan mahkamah ketika ini.
"Walaupun ada alasan oleh pembelaan bahawa prosiding tertutup disebabkan isu sensitiviti, ia adalah alasan berasingan sama sekali.
"Ini tidak mengubah fakta bahawa undang-undang menghendaki peringkat prosiding itu diadakan secara tertutup dalam kamar," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan