Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat meriah dan unik





Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat meriah dan unik
April 27, 2024

KANGAR: Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat berlangsung dengan meriah walaupun Syawal telah memasuki minggu ketiga apabila lebih 40,000 pengunjung tidak putus-putus seawal jam 10 pagi membanjiri Dewan 2020, di sini.

Pelbagai menu disediakan antaranya nasi gulai daging, lemang, ketupat, rendang, sate, beraneka bubur, kuih muih, mee, bihun, laksa dan lain-lain termasuk minuman sejuk serta panas.


Keunikan Rumah Terbuka Aidilfitri kali ini apabila setiap gerai menu juadah mempersembahkan kreativiti masing-masing dengan memperagakan tema ‘Tradisional Melayu’.

Bermula dari pakaian sehingga ‘booth’ bergambar dan juadah dihias dengan peralatan lama dan terpakai seolah-olah menggamit nostalgia lama di era dahulu di mana PAS DUN Pauh diumumkan sebagai pemenang pertama gerai tercantik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta hamper.

Manakala tempat kedua jatuh kepada DUN Kuala Perlis dan tempat ketiga DUN Kayang dengan masing-masing menerima wang tunai RM800 dan RM700 berserta hamper di mana hadiah kepada pemenang disampaikan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara majlis perasmian bermula jam 11.00 pagi dengan ucapan Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli sebagai tuan rumah, diikuti Al-Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin disusuli ucaptama Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Seperti kebiasaannya, kanak-kanak diraikan dengan pemberian duit raya.

Turut hadir, Naib Presiden PAS, Dato’ Idris Ahmad, Setiausaha Agung, Dato’ Seri Takiyudin Hassan, Ketua Penerangan, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Bendahari, Dato’ Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pengarah Pilihan Raya yang juga Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Selain Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azzamuden, serta Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), N.Balasubramaniam.

Dalam pada itu, majlis Pelancaran Tabung PAS Pusat turut diadakan dan disempurnakan oleh Tuan Guru Presiden.

Walaupun majlis berakhir pada jam 2.00 petang namun pengunjung kelihatan masih berpusu-pusu mengunjungi rumah terbuka terbabit yang julung kali diadakan di negeri ini. – HARAKAHDAILY 27/4/2024

Ulasan