Salah siapa wakil rakyat PN 100 peratus bumiputera?




Salah siapa wakil rakyat PN 100 peratus bumiputera?
Oleh ZULKIFLI JALIL dan AHMAD FADHLULLAH ADNAN
21 April 2024, 7:50 am

Mukadimah

KETUA Pembangkang, DATUK SERI HAMZAH ZAINUDDIN cukup berhati-hati dalam menjelaskan kedudukan enam ahli parlimen serta seorang ahli Dewan Undangan Negeri daripada parti itu yang dikatakan telah ‘berpaling tadah’ menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Apa sahaja statement yang saya sebut akan digunapakai di mahkamah, jadi saya kena hati-hati,” kata Hamzah, 67, dalam pertemuan dengan Mingguan Malaysia di Bukit Tun, Kuala Lumpur Khamis lalu.

Kepada wartawan ZULKIFLI JALIL, OMAR ZIN dan AHMAD FADHLULLAH ADNAN serta jurufoto, SYAKIR RADIN, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) itu turut menjelaskan tuduhan yang dilemparkan terhadap PN yang turut dianggotai Pas.

Ini termasuk dakwaan gabungan politik itu hanya memperjuangkan orang Melayu dan Islam serta ‘ligat’ memainkan sentimen kaum.

PECAT ATAU TIDAK?
Mingguan: Adakah akan berlaku kekosongan tujuh kerusi dan membawa kepada pilihan raya kecil?

HAMZAH: Dari segi pandangan-pandangan yang telah diberikan oleh pihak-pihak peguam yang bijaksana, nampak gayanya, insya-Allah, ia akan menjadi sesuatu yang akan memihak kepada parti.

Bagaimana kerusi-kerusi itu boleh dikosongkan?

Kalau diikutkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, ada perkara yang kita harus lakukan.


Contohnya, seseorang yang tidak lagi menjadi ahli parti, tapi mereka semua mengaku bahawa mereka ahli parti. Jadi tidak bolehlah ada tindakan diambil untuk mengosongkan kerusi. Tapi dalam satu fasal lagi menyebutkan bahawa kecuali apabila mereka ini terhenti daripada ahli parti dan ada perkara-perkara yang menyebabkan mereka terhenti. Kalau dalam bahasa Inggeris ceased to be a member. Mengikut perlembagaan parti, perkara ini harus dilihat secara terperinci.

Jadi, tidak boleh dipecat begitu sahaja?
Nak pecat boleh tetapi apakah dia boleh memberikan sesuatu yang baik untuk parti dan juga untuk pengundi? Lagipun dalam soal ini, kita ada istilah pecat, tergugur dan satu lagi terhenti. Semua perkara ini harus diambil kira sebelum membuat keputusan.

Macam dulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dia Pengerusi Bersatu. Kemudian dia minta untuk keluar daripada kerajaan nak sertai pembangkang (Pejuang). Itu dipanggil terhenti sebab dia cross the floor. Semua ini adalah perkara yang harus diambil kira mengikut kesalahan yang telah dilakukan oleh seseorang ahli parti.

Peluang menangi semula kerusi?
Kerusi-kerusi ini kita yakin adalah kerusi di mana rakyat ataupun pengundi di tempat dan kawasan-kawasan ini majoritinya adalah penyokong kita. Insya-Allah, kalau pun kita ada pilihan raya semula di kawasan-kawasan tersebut, saya yakin kita akan menang sekali lagi.

PRK Kuala Kubu Bharu sengit

Adakah kali ini PN akan letak calon Melayu?

Peratusan pengundi Melayu di situ sudah mencecah 48 peratus dan pengundi bukan Melayu 52 peratus. Daripada 52 peratus, 18 peratus adalah kaum India. Maknanya, tinggal 34 peratus lagi dari kaum Cina dan bangsa lain-lain. Kalau tolak kumpulan Orang Asli di situ dalam empat peratus, maknanya kaum lain-lain hanya lebih kurang 30 peratus sahaja.

Jadi, semua itu harus diambil kira untuk kita tentukan iaitu presiden parti bersama dengan beberapa jawatankuasa ditubuhkan untuk menentukan siapa calon yang sesuai.

Adakah calon Melayu jadi penentu kemenangan?

Rakyat keseluruhannya, bukan hanya Melayu merasakan mereka hidup dalam keadaan terhimpit. Soal sama ada Melayu atau tidak itu soal lain. Soalnya sama ada rakyat hari ini hidup dalam keadaan selesa ataupun tidak. Itu yang lebih mustahak sebab negara ini memerlukan semua, bukan hanya satu bangsa. Semua bangsa yang ada.

Kalau seseorang pemimpin yang telah pun diberi mandat memimpin, dia harus melihat bagaimana untuk memberi rakyat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera serta selesa. Tidak ada masalah-masalah yang boleh menimbulkan rasa kecewanya, rasa terhimpit, rasa tertekannya.

Sesiapa pun yang hidup hari ini yang paling utama adalah masalah kehidupan. Jangan kita biarkan mereka merasakan bahawa kehidupan dalam negara kita tidak memberi makna. Yang inilah saya mahu tunjukkan bahawa kalaulah rakyat sedar, maka sepatutnya ini boleh menjadi petunjuk kepada kerajaan bahawa rakyat tidak bersetuju dengan pemerintahan ini.

Adakah yakin pengundi akan bersuara dalam PRK kali ini?

Masa bila lagi kalau bukan PRK kita dapat tunjukkan kepada kerajaan. Kita tak takut walaupun kerajaan. Walaupun ada kuasa macam mana sekalipun, kita nak maklumkan bahawa sebenarnya kami tak setuju dengan apa yang dilakukan.



Inilah masanya. Kadang-kadang kita melihat tidak apa, ini hanya PRK, tapi suara kita penting untuk kita menunjukkan, beritahu kepada kerajaan bahawa apa yang dilakukan ini tidak diterima baik oleh rakyat.

Apa peluang PN dalam PRK kali ini?

Dari segi kajian yang kita buat, ada ruang atau peluang untuk kali ini buat pertama kalinya calon DAP kalah dalam pilihan raya dan kalau benarlah ia berlaku, maknanya landskap politik dalam negara ini akan menjadi sesuatu yang berbeza daripada dahulu kala. Dia memberikan gambaran pengundi sudah lebih matang.

Pengundi tidak kira bangsa melihat kepentingan bukan hanya satu bangsa tapi nak melihat bahawa wakil mereka adalah wakil yang berani, yang sanggup turun ke bawah dan memperjuangkan nasib, tidak kira daripada mana parti dan bangsa.

PN dilihat lebih banyak menyuarakan isu remeh-temeh, benarkah?

Saya sudah menjadi ketua pembangkang melebihi setahun setengah. Setiap kali saya berucap di Parlimen, saya beritahu kepada kerajaan, saya akan menjadi kumpulan yang mengimbangi segala apa yang berlaku, bukan hanya nak membangkang semata-mata tapi nak semak dan imbang seperti polisi kerajaan dan menentukan segala undang-undang yang hendak ditubuhkan memberi manfaat bukan hanya kepada satu kumpulan tapi kepada semua kumpulan.

Tidak kiralah sama ada Bersatu ke UMNO ke, dia kena lihat kepentingan mana. Kepentingan hanya semata-mata untuk pemimpin ke ataupun untuk ahli parti ke ataupun untuk rakyat keseluruhannya.

Kita bersuara pun bersuara untuk rakyat. Kalau menilai daripada apa yang kita lakukan di Parlimen, kita sentiasa menyuarakan sesuatu yang memang perjuangkan untuk rakyat.

Contoh, masalah beras, kita bangkitkan dari awal-awal lagi, kita kata kenapa beras tempatan tak ada dan kerajaan menafikan apa yang telah kita bangkitkan.

Kata kebebasan bersuara. Ini kehendak rakyat. Hari ini semua ini telah menjadi sesuatu yang besar. Isu yang besar kerana rakyat merasakan bahawa apa yang kita nak suarakan itu menjadi kesalahan pula. Teguran bukan bermakna menghasut. Teguran adalah sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada sesiapa, kepada pemimpin dan juga kepada keseluruhan negara kita sendiri.

Kalau sesuatu tindakan atau undang undang yang diambil itu tidak adil, maka siapa lagi yang nak bersuara kalau bukan ahli-ahli Parlimen? Kalau jadi ahli Parlimen, walaupun duduk di sebelah kerajaan, jangan sekadar ambil keputusan yang dikehendaki oleh Perdana Menteri.

Tidak boleh begitu. Dia kena bersuara semasa undang-undang itu hendak dibuat. Dia mesti bersuara lebih awal mengatakan ini tidak adil. Kita kena fikir masa depan, kita kena fikir jauh ke hadapan. Jangan fikir kita dah sokong Anwar, kita kena undi dia, kita kena berikan sokongan kita dalam Parlimen.

Rakyat sekarang bukan macam dulu lagi. Ahli Parlimen sendiri mempunyai platform bermacam-macam dan kita bercakap benda yang benar. Bercakap kerana melihat sesuatu yang lebih baik untuk negara, untuk rakyat. Salah ke?

PN LEBIH MELAYU, ISLAM?
Adakah PN lebih perjuangkan soal Melayu dan Islam sahaja?

Di Pantai Timur, berapa peratusan orang bukan Melayu. Sudah tentu menang di kawasan Melayu. Sebab di situ peratusan amat rendah sekali bukan Melayu. Namun kawasan di Pantai Barat, siapa kata PN tidak menang.

Kedah dan Perlis di Pantai Barat. Begitu juga di Perak. Peratusan ahli Parlimen kita besar, sudah menghampiri 50 peratus. Jadi, siapa kata PN hanya boleh menang di Pantai Timur.

Kekuatan kita ada di seluruh negara. Masalahnya ia telah dimainkan persepsi pemimpin tertentu. Semua pemimpin PN sama ada dari Bersatu, Pas, Gerakan dan lain-lain, keterbukaan untuk melihat ramai orang bukan Melayu bersama kita itu ada. Kita sangat inklusif. Ini menunjukkan PN bukan hanya memperjuangkan Islam semata-mata tetapi perjuangan kita adalah untuk seluruh negara dan semua rakyat.

Kalau kita menang dan ahli parlimen kita majoritinya semua Melayu, salah siapa? Kita ada Gerakan, kita letak di kawasan bukan Melayu. Orang bukan Melayu yang tak nak. Jadi, jangan salahkan kita sebab kata kita ini Melayu. Engkau yang tak nak Gerakan. Bukan salah kita orang bukan Melayu tidak mahu calon Cina.

Apabila kita dah letakkan calon-calon, yang bukan Melayu pun ada tapi engkau yang tak nak, apa pula nak salahkan kita yang hari ini hanya dilihat sebagai Melayu atau bumiputera sahaja. Betul, 100 peratus bumiputera itu betullah. Ahli Parlimen 100 peratus bumiputera. Tapi kalau ikutkan dari segi pilihan raya kita letak ramai yang bukan bumiputera. Tapi engkau orang yang tak nak, apasal nak salahkan kita. Inilah persepsinya.

Contohnya, orang Melayu bertanding mewakili DAP menang. Di mana kawasannya? Majoriti kawasan Cina. Kita letak calon bukan Melayu, kita letak orang Cina di situ. Yang menang calon Melayu DAP, yang kalahnya calon bukan Melayu PN.

Jadi, salah siapa. Takkanlah salah pemimpin PN, jangan dipermainkan dengan persepsi-persepsi negatif ini.

Kalau dari segi kehidupan orang bukan Melayu di Kelantan. Apakah mereka mundur? Apakah mereka susah? Apakah kehidupan mereka teraniaya? Di Kelantan dan Terengganu cuba kita lihat, tak ada pun. Siapa pemimpinnya? Orang Melayu di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Ada isu perkauman di Kelantan dan Terengganu? Tak ada pun. Tapi yang kuat isu perkauman di Pulau Pinang pasal apa? Mengapa pula nak salahkan PN? Itu kena fikir sendirilah.

GAGAL URUS EKONOMI?
Puas hati dengan ekonomi negara dan kepimpinan PM?

Dulu Perdana Menteri kata masalah kos sara hidup akan diambil sebagai satu isu besar dan akan diselesaikan dalam masa terdekat. Dia bersuara lantang minta supaya pegawai-pegawai kerajaan cari penyelesaian. Tapi rakyat masih lagi bersuara mengatakan hari ini macam-macam masalah yang ada, timbul isu seperti beras tempatan.

Perdana Menteri asyik bercakap mengenai perjuangan tidak ada korup dalam negara. Pada saya, keseluruhan ekonomi bukan begitu caranya. Kita kena fikirkan dari segi polisi kita. Apakah polisi dan sistem memastikan pertumbuhan negara? Kalau ada, maka sudah tentu kita boleh merancang untuk pertumbuhan ekonomi yang akan dinikmati oleh seluruh rakyat.

Tapi hari ini tidak. Lebih teruk. Ringgitnya merudum. Keadaan hutang bertambah-tambah. Jadi, kalau itulah yang kita boleh tengok. Pada saya, mereka gagal untuk mengurus ekonomi dengan baik.

Tapi PM kata banyak pelaburan dibawa masuk?

Pelaburan kita ini bukan melihat dari segi minat orang itu melabur. Kita kena melihat kalaulah betul orang melabur sampai berapa dia kata dah RM300 bilion? Pasal apa ringgit kita merudum? Maknanya pelaburan itu tidak ada masuk ke dalam negara kita.

Kalau betul, pelaburan itu ditukarkan kepada ringgit sahaja akan membuktikan kukuh ringgit kita. Mana ada. Jadi jangan bercakap dari segi minat orang melabur. Kita tengok berapa ramai yang telah pun benar-benar melabur ke dalam negara. – Mingguan Malaysia

Ulasan