'Sebagai pemimpin kita mesti berani, berani dan berani'




'Sebagai pemimpin kita mesti berani, berani dan berani'
Oleh Shahbudin Embun - April 21, 2024 @ 4:01pm
MALAYSIA kehilangan seorang negarawan apabila bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 2.15 pagi semalam.
-ADVERTISEMENT-

Jasa Mohammed Hanif dalam bidang kepolisan dan keselamatan dalam negara bukan sahaja amat besar serta sukar ditandingi, bahkan akan terus dikenang sepanjang masa.

Pembabitan dalam bidang kepolisan bermula sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis pada 8 Jun 1959, yang ketika itu usianya baru mencecah 20 tahun.

Memandangkan Mohammed Hanif sentiasa melaksanakan tugasnya dengan cemerlang, maka beliau menerima beberapa kenaikan pangkat seperti memegang jawatan sebagai Ketua Polis Melaka dan kemudiannya sebagai Ketua Polis Selangor pada 6 Disember 1971.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas pada 1973 dan pada tahun berikutnya dilantik sebagai KPN ketika usia baru mencecah 35 tahun.

Ini menjadikan Mohammed Hanif sebagai KPN termuda pernah dilantik di negara ini. Bayangkan pada usia yang masih muda, beliau memikul tugas berkenaan dengan penuh tanggungjawab, memikul harapan dan menghadapi tekanan berat, sekali gus menjadi antara tugas yang amat berat dalam kalangan penjawat awam.


Berdekad-dekad mencurahkan segala bakti terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohammed Hanif akhirnya bersara pada 1994, iaitu selepas 35 tahun berkhidmat dalam pasukan polis.

Utamakan disiplin, integriti

Mohammed Hanif terkenal sebagai seorang sentiasa mengutamakan disiplin dan integriti dalam kerjaya dan kehidupannya. Bagi beliau tanpa adanya integriti, semua usaha dan jasa dilakukan PDRM akan dianggap cacat dan memberikan nama buruk kepada ramai anggota polis berkhidmat dengan penuh disiplin, dedikasi dan berintegriti.

Selain itu, sebagai pemimpin dalam PDRM, beliau sentiasa menitikberatkan sifat profesional polis supaya semua pegawai mampu melaksanakan tugas dengan cemerlang dan berkemampuan menganalisis masalah jenayah serta sosial masyarakat ketika melaksanakan tugas.

Ini menjadikan pasukan PDRM sebagai nadi dalam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Beliau sendiri menjadi teladan dan memastikan semua pegawai sentiasa memberikan terbaik supaya dapat meningkatkan lagi standard kepolisan serta profesionalisme pasukan penegak undang-undang ini.

Bukan itu sahaja, Allahyarham juga menanam rasa cinta anggota polis kepada profesion kepolisan supaya dapat menjalankan tugas dengan lebih cekap, berdisiplin dan berhemah.

Terus sumbang jasa kepada negara

Persaraan bukan bermakna masa untuk rehat sepenuhnya bagi Mohammed Hanif. Beliau terus menyumbangkan jasa dan sering memberikan nasihat serta pandangan terhadap pelbagai isu di negara kita.

Antara isu sering diutarakan adalah berkaitan dengan rasuah yang sebenarnya bukan aneh kerana Mohammed Hanif memang terkenal sebagai tokoh yang sangat memusuhi rasuah.

Beliau yang juga pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM), pernah meluahkan rasa kesal apabila pengaruh gerakan ekonomi bayangan menjadi antara punca rasuah begitu rumit untuk dihapuskan di negara ini.

Mohammed Hanif pernah menegaskan dalam satu forum pada 2021 bahawa gerakan ekonomi bayangan bertambah besar disebabkan penguat kuasa yang menerima rasuah tidak mengambil tindakan terhadap pengendali gerakan berkenaan.

Sering tegaskan perlu berani

Tidak hairanlah sifat integriti dan disiplin menjadi kekuatan Mohammed Hanif, bahkan beliau sering mengungkapkan 'sebagai pemimpin kita mesti berani, berani dan berani' dalam mesyuarat di MPM.

Beliau turut menegaskan setiap keputusan mestilah berlandaskan undang-undang, manakala sesiapa sahaja tidak mematuhinya, perlu berdepan dengan akibatnya.

Mohammed Hanif juga sangat membenci salah guna kuasa, malah beliau menyifatkan berjuang menentang korupsi adalah jihad.

Ini semua dapat saya saksikan sendiri kerana ketika turut menganggotai Jawatankuasa Pemandu MPM yang dipengerusikannya disebabkan saya menjadi Pengerusi Biro Politik dan Kepimpinan.

Kami pasti berasa kehilangan beliau sebagai pemimpin yang mempunyai misi dan bekerjasama dalam banyak tahun berdasarkan harapan dipersetujui bersama.

Banyak lagi yang boleh diperkatakan mengenai ketokohan Mohammed Hanif sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negara kita. Malaysia kehilangan seorang tokoh sukar dicari ganti.

Hakikatnya, beliau adalah pemimpin yang sukar dicari termasuk profesionalisme, karisma dan aura ketokohan, selain jasa besar kepada negara.

Ulasan