Siapa sanggup makan ubi kayu 3 kali sehari?



SEBELUM mencadangkan rakyat makan ubi kayu sebagai alternatif, isu pokok mengenai kehilangan beras tempatan di pasaran negara ini perlu diselesaikan terlebih dahulu. – MINGGUAN MALAYSIA/IZLIZAN OTHMAN


Siapa sanggup makan ubi kayu 3 kali sehari?

Oleh Laupa Junus
21 April 2024, 7:00 pm



Siapa sanggup menghadap ubi kayu rebus tiga kali sehari? Sesekali layan, terutama hari hujan, bolehlah. Namun apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mencabar rakyat Malaysia berani melakukan perubahan untuk tidak terus bergantung kepada nasi sebagai sumber karbohidrat, sebaliknya menggantikannya dengan sumber lain seperti ubi kayu, maka ‘juri terbuka’ di media sosial mula memberi komen.

Ubi kayu atau nama saintifiknya Manihot esculenta merupakan tanaman tropika yang banyak ditanam di kampung kampung untuk kegunaan sendiri.

Ubi kayu mudah ditanam menggunakan keratan batang. Di Malaysia keluasan tanaman ubi kayu seperti yang diperoleh Jabatan Pertanian adalah 2,733.46 hektar. Ternyata keluasan tersebut sangat rendah berbanding kawasan penanaman padi.

Jumlah keluasan tanaman ubi kayu yang kecil ini sekali gus tidak memungkinkan ia menjadi makanan ruji kepada sekurang-kurangnya 30 juta penduduk negara ini.

Johari berkata, cadangan beliau menjadikan ubi kayu sebagai satu daripada sumber karbohidrat dilihat mampu menjadi alternatif terbaik sementara menunggu isu bekalan beras putih tempatan (BPT) selesai.

Cadangan Johari itu susulan isu padi yang ditanam petani kita tetapi BPT tidak ada di pasaran dan menimbulkan persoalan dan isu krisis makanan. Malah Johari berkongsi pandangan bahawa beliau pernah berbincang dengan beberapa Ahli Parlimen Sarawak, negeri yang tanam ubi kayu yang digunakan sebagai makanan tambahan, sebab khasiat ubi kayu hebat dibandingkan gula yang ada dalam beras.


Iya benar, ubi juga sumber karbohidrat, tetapi berfikir cara macam ini bukan sahaja seolah-olah meremehkan pemikiran orang lain, tetapi pencetus saranan kelihatan kurang cerdik. Semacam ada satu siri pemikiran mudah dan kelakar dalam konteks mencari penyelesaian masalah jangka panjang tetapi menemui jalan buntu.

Sebelum ini iaitu ketika negara dilanda Covid-19, seorang ahli akademik di sebuah universiti tempatan mencadangkan makan sahaja lauk ikan singgang bagi mencegah virus berkenaan.

Kalau saranan beliau itu benar dan diguna pakai, banyak nyawa dan kos dapat diselamatkan.

Bekas menteri Kesihatan juga pernah mencadangkan hanya dengan minum air suam, virus Covid -19 boleh dimusnahkan, namun akhirnya cadangan itu hanya menjadi bualan di meja sindiran warga maya.

Akhirnya masalah Covid-19 terus menjadi beban kepada negara.

Cerita terbaharu dalam siri cadangan kelakar ini adalah isu yang dibangkitkan oleh Johari supaya ubi kayu menjadi alternatif makanan ruji menggantikan nasi. Cadangan tersebut bukan sahaja boleh menimbulkan komen di ruang maya tetapi menunjukkan sesuatu yang kurang cerdik. Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir pemimpin sepatutnya berfikir menyelesaikan masalah rakyat untuk jangka panjang .

“Sampai bila rakyat hendak atau perlu makan ubi kayu?,” soalnya. Kerajaan negeri dan Persekutuan sepatutnya melihat isu beras itu sebagai sesuatu yang serius kerana melibatkan makanan rakyat.

Bukan berkata sesutau yang tidak boleh digunakan pakai dalam konteks menyelesaikan masalah rakyat.

Beliau memberi contoh Kerajaan Sarawak merancang untuk membuka lebih banyak kawasan penanaman padi untuk keperluan rakyat menandakan pimpinan negeri berfikir ke hadapan supaya bekalan beras sentiasa ada pada masa depan.

Felo, Laboratori Kajian Polisi Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad turut bersetuju dengan Jeniri supaya isu pokok ketiadaan beras diselesaikan terlebih dahulu. Beliau mendakwa isu dua pihak iaitu pengilang dan agensi tertentu bersekongkol menyebabkan mereka menguasai 70 peratus syer pasaran beras.

“Mereka lah dalangnya. Oleh sebab mereka berkuasa atau bersekongkol, rakyat kena makan ubi kayu?” ujarnya.

Fatimah berkata, Malaysia bukan tiada beras, tapi beras disorok dan dicampur supaya mereka dapat untung besar.

Ujarnya lagi adakah adil meminta rakyat makan ubi kayu tiga kali sehari sedangkan pemimpin makan nasi. Justeru beliau berharap supaya kerajaan sentiasa merancang ke hadapan bagi mengatasi apa juga isu melibatkan rakyat dan bukan berkata sesuatu yang cantik di atas kertas tetapi pelaksanaannya ‘hancur’.

Selain isu keluasan tanaman yang kecil menjadi halangan kepada pelaksanaan cadangan Johari, isu lain adalah sama ada nilai pemakanan ubi kayu itu sendiri mampu menggantikan nasi. Selain faktor keluasan tanaman, adakah nilai pemakanan ubi kayu boleh mengesahkan bahan tersebut boleh mengganti nasi atau karbohidrat dalam gizi makanan. Menurut Timbalan Dekan Akademik (Sains Kesihatan) & Hal Ehwal Pelajar dan Alumni

(HEPA) Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof. Dr Barakatun Nisak Mohd. Yusof perbandingan bagi secawan nasi dan ubi kayu menunjukkan kalori lebih tinggi dalam ubi kayu berbanding nasi putih, begitu juga dengan karbohidrat.

Namun, ubi kayu mengandungi serat yang lebih tinggi berbanding nasi putih meskipun kedua-duanya berada dalam kumpulan yang sama iaitu dalam kumpulan bijirin dan karbohidrat tetapi serat yang tinggi memberikan ubi kayu akan rasa lebih kenyang berbanding nasi.

Kajian menunjukkan nasi putih adalah makanan tinggi nilai indeks glisemik manakala ubi kayu mempunyai hasil pelbagai biasanya antara sederhana kepada tinggi. Maka, pesakit diabetes digalakkan memilih makanan dengan nilai indeks glisemik rendah dan sederhana.- UTUSAN

Ulasan