Tiga termasuk lelaki Israel berdepan hukuman mati




Tiga termasuk lelaki Israel berdepan hukuman mati
UTUSAN MALAYSIA 2 April 2024.
Oleh MASZUREEN HADZMAN
3 April 2024, 7:30 am

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan lelaki Israel dikenali sebagai Shalom Avitan yang ditahan pada 27 Mac lalu bakal berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Turut berdepan hukuman sama iaitu pasangan suami isteri warga tempatan yang disyaki membekalkan senjata kepada lelaki Israel itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, pada awalnya, siasatan pada mulanya dijalankan mengikut Akta Pasport 1966 kerana dia sebagai warga Israel memasuki negara ini menggunakan pasport kewarganegaraan Perancis.

“Namun, siasatan kini dijalankan terhadap kesalahan lebih berat iaitu pemilikan senjata api mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman, di sini semalam.

Razarudin menegaskan, mana-mana individu yang didapati bersalah mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, boleh dihukum mati.

“Kesemua mereka masih ditahan reman untuk siasatan lanjut bagi membolehkan polis mengenal pasti motif sebenar pemilikan senjata api berkenaan


“Lelaki warga Israel itu direman hingga 7 April ini, manakala reman terhadap pasangan suami isteri terbabit pula akan berakhir pada 5 April ini,” jelasnya.

Razarudin berkata, siasatan terhadap suspek mendapati senjata api yang diperoleh lelaki Israel itu dibeli dari ne­gara jiran dengan harga lebih RM10,000 bagi sepucuk pistol.

Kata beliau, polis tidak dapat mendedahkan kepada umum bagaimana enam pistol dise­rahkan kepada lelaki Israel itu.

“Malah cara komunikasi antara pembekal iaitu dua pasangan suami isteri yang ditahan di Kuala Selangor, Jumaat lalu dengan lelaki Israel berusia 38 tahun itu juga turut perlu dirahsiakan.

“Pendedahan maklumat itu secara terperinci dikhuatiri boleh mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan dan semakan perlu dilakukan bagi memastikan ketulenan senjata api, pasport dan kad kredit yang digunakan suspek ini,” ujarnya.

Justeru, tambah beliau, sebarang proses susulan untuk sambung reman akan dimohon sekiranya pihak polis masih memerlukan masa melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, lebih dua individu sedang diburu pihaknya selepas disyaki mempunyai kaitan dengan lelaki warga Israel itu.

Jelas beliau, identiti kesemua individu berkenaan sama ada warga asing atau rakyat tempatan tidak dapat didedahkan kerana ianya boleh mengganggu siasatan.

“Keterangan 23 orang saksi terdiri polis dan orang awam telah diambil keterangan sepanjang tempoh ini.

“Buat masa ini, siasatan kita menjurus kepada merakam percakapan kesemua saksi agar kertas siasatan ini diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat,” ujarnya.

Kata Razarudin, siasatan lanjut masih dilakukan termasuk kemungkinan suspek adalah ejen risikan atau pengintip.

Beliau berkata, identiti lelaki bernama Eran Haya yang didakwa sedang dicari oleh lelaki Israel itu juga belum dapat dikenalpasti.

“Ini kerana, siasatan di peringkat ini belum mempunyai petunjuk positif terhadap kewujudan lelaki yang didakwa dicari oleh suspek kerana isu keluarga,” katanya. – UTUSAN

Ulasan