UMNO Jasin kecewa penahanan Dr. Akmal, kekal boikot KK Mart


UMNO Jasin kecewa penahanan Dr. Akmal, kekal boikot KK Mart
MUHAMAD AKMAL SALEH
Oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
6 April 2024, 8:00 am

MELAKA: UMNO Bahagian Jasin kecewa dengan penahanan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah semalam.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Azman Abdullah berkata, kelantangan Muhamad Akmal dalam isu penjualan stoking berkalimah Allah telah disalah tafsir dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu dikatakan sebagai punca berlakunya insiden keganasan berkaitan KK Mart.

ADVERTISING
AZMAN ABDULLAH

Katanya, UMNO Bahagian Jasin bertegas dengan seruan dan kekal dengan prinsip memboikot kedai serbaneka berkenaan.

“Kami bertegas dengan seruan #BoikotKKMart dan akan terus kekal dengan prinsip ini. Tidak menjadi sebarang kesalahan untuk rakyat Malaysia menganjurkan serta melaksanakan boikot terhadap mana-mana pihak selagi dalam ruang lingkup perundangan negara.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa boikot ini dianjurkan secara aman dan penuh tertib. Muhamad Akmal tidak pernah sekali dalam apa-apa keadaan atau di mana-mana tempat sama ada menggesa mahupun mengarahkan sesiapa untuk bertindak di luar batas undang-undang,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin memaklumkan dia ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu walaupun telah menyatakan persetujuan untuk hadir sendiri ke IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.


Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan menerima dua laporan berkaitan ucapan dan tindakan Muhamad Akmal berhubung isu stoking tertera kalimah Allah dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Tambah Azman, UMNO Bahagian Jasin berharap pihak berkuasa dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh etika dan profesional.

Menurutnya, semua ahli UMNO terutama Bahagian Jasin diminta kekal tenang dan terus mendoakan agar segala urusan Muhamad Akmal dipermudahkan.

“UMNO Bahagian Jasin sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang dan prinsip seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah. Kami akan terus berjuang bersama beliau untuk terus menjamin keselamatan serta kesucian agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja Melayu daripada bahan hinaan musuh-musuh semua,” ujarnya. – UTUSAN

Ulasan