Zulkifli nasihat Aliff Syukri tumpu ibadah 10 malam terakhir Ramadan



Zulkifli nasihat Aliff Syukri tumpu ibadah 10 malam terakhir Ramadan
ZULKIFLI HASAN
Oleh AMREE AHMAD
2 April 2024, 7:17 pm

PUTRAJAYA: Usahawan selebriti popular tanah air, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman diseru supaya lebih memberikan tumpuan kepada beribadat 10 malam terakhir Ramadan.

Nasihat itu disuarakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan sebagai merujuk satu video klip terbaharu oleh ahli perniagaan tersebut.

“Nasihat saya juga kepada semua, akhir 10 malam Ramadan ini marilah bersama-sama kita fokus kepada ibadah dan membuat amal kebaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir mempengerusikan Dialog Pemimpin Pelbagai Agama di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Aliff Syukri semalam menggemparkan warganet apabila memuat naik video lagu raya namun dikecam umat Islam kerana aksi pelakon dengan tariannya yang begitu keterlaluan.

Beliau walau bagaimanapun memohon maaf dan mendakwa klip itu hanya gurauan April Fool dan ditegur pendakwah, Dr. Kamilin Jamilin sebagai penghinaan kepada Ramadan.

Malahan, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menyeru umat Islam agar bangkit memboikot produk kosmetik Aliff Syukri sebagai pengajaran ke atas individu itu.


Mengulas lanjut, Zulkifli meminta masyarakat Muslim supaya kekal bertenang dan tidak pula membuat sebarang spekulasi kerana bimbang implikasinya memberikan kesan besar.

“Kita menyerahkan tugasan seterusnya kepada pihak berautoriti untuk dapat melakukan siasatan kerana memang sudah pun ada laporan polis dibuat berhubung isu ini,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menggesa semua pempengaruh agar menjadikan kes tersebut sebagai iktibar bagi menawarkan kandungan berfaedah kepada pengguna media sosial.

Selain itu, beliau memohon umat Islam memberikan tumpuan penghujung Ramadan untuk memperbanyakkan berdoa kepada Allah kerana dianggap antara tempoh amat mustajab.

Bahkan Zulkifli menasihatkan masyarakat tanpa mengira agama supaya mengenepikan sebarang isu tidak penting dan terus berusaha bagi memperkukuhkan perpaduan rakyat. – UTUSAN

Ulasan