500 pokok besar, tua ancam pengguna jalan raya


500 pokok besar, tua ancam pengguna jalan raya
Pengguna jalan raya terdedah kepada risiko pokok tumbang yang boleh meragut nyawa dan merosakkan harta benda. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Oleh JUANI ABU BAKAR
9 Mei 2024, 7:55 am

PETALING JAYA: Dianggarkan ter­dapat 500 pokok besar dan berusia di sekitar Kuala Lumpur terutama berhampiran lokasi tumpuan orang ramai dan jalan raya, beri­siko tumbang sehingga boleh meragut nyawa serta menyebabkan kerosakan harta benda.

Pokok-pokok tersebut bukan sahaja berada di bawah tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tetapi juga di atas tanah milik per­sendirian yang rata-rata ber­usia 50 tahun ke atas.

Jumlah 500 tumbuhan itu berdasarkan maklumat DBKL yang mempunyai rekod bagi memudahkan agensi itu mengenal pasti pokok-pokok tersebut bagi memudahkannya melakukan pemantauan.

Paling membimbangkan, terdapat pemilik persendirian tidak menyelenggara pokok tersebut, ditambah faktor cuaca ekstrem sekaligus me­ngundang risiko insiden pokok tumbang dan boleh meragut nyawa, selain memusnahkan harta benda.

Presiden Arborist Malaysia (Parm), Mohd. Zailani Jamil berkata, pihaknya mengenalpasti hampir 500 pokok besar dan berusia di sekitar Kuala Lumpur memerlukan perhatian dan penyelenggaran lebih kerap, bagi mengelakkan risiko tumbang khususnya berhampiran lokasi tumpuan.

Katanya, langkah tersebut bukan sahaja perlu melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi juga semua pihak termasuk pemilik tanah persendirian.


Orang ramai pula, kata beliau, boleh memantau pokok berisiko tumbang dan me­laporkannya segera kepada pihak berkuasa.

Beliau memberitahu, aktiviti korek tanah mendorong pokok tumbang apabila gangguan akar dalam tanah berlaku, di sam­ping kemerosotan kesihatan pokok dan faktor cuaca buruk.

“Walaupun terdapat aspek penjagaan pokok, kerosakan yang dilakukan pihak lain terutama pengorekan tanah menyebabkan gangguan akar. Jadi ia menjejaskan pokok dan memberi kesan daripada pereputan sekali gus menjejaskan kekuatan dahan.

“Lama-kelamaan daun-daun bertambah menyebabkan beban meningkat, maka saiz pokok bertambah dan sauh pokok tidak memadai dengan saiz. Apabila perkara ini berlaku berterusan, maka bebanan ini akan memberi kesan dan wujud pula beberapa kesan susulan antaranya keadaan cuaca tidak menentu.

“Angin kuat dan air berlebihan menjadi beberapa faktor dahan lemah dan menyebabkan pokok tumbang akibat struktur pokok tidak stabil,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, negara dikejutkan kejadian pokok besar tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur sehingga meragut nyawa seorang pemandu lelaki berusia 47 tahun, menghempap 17 kenderaan dan landasan monorel selain merosakkan kemudahan awam iaitu perhentian bas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, DBKL akan melihat keperluan untuk mengkaji semula garis panduan penjagaan pokok-pokok tua khususnya berusia 50 sehingga 80 tahun di sekitar ibu negara.

Justeru itu, Mohd. Zailani berkata, pihaknya menekankan keperluan kekerapan penyelenggaran dan pemeriksaan berkala serta usaha mitigasi untuk meminimumkan risiko pokok tumbang.

Katanya, PBT dan pihak berkepentingan perlu mengutamakan pelaksanaan program pemeriksaan dan penyelenggaraan yang menyeluruh bagi memastikan keselamatan po­kok di kawasan bandar.

“Oleh itu, rancangan pembangunan bandar mesti menyepadankan langkah untuk melindungi dan memelihara akar pokok bagi mengekalkan kestabilan pokok dalam jangka masa panjang,” katanya.

Tambah beliau, pokok merupakan benda hidup dan melalui perubahan serta fasa di mana mengalami kemerosotan dari segi keupayaan dan kekuatan.

“Apabila kita melakukan penanaman pokok yang bukan tumbuh sendiri di kawasan padat dan berhampiran manusia, maka beberapa perkara perlu dilihat antaranya teknik penanaman. Tumbesaran berlaku dengan baik jika kita memberi keperluan terhadap pokok itu,” katanya. – UTUSAN

Ulasan