8,556 penjawat awam kena tindakan tatatertib



8,556 penjawat awam kena tindakan tatatertib
Mohd Zuki Ali
Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
22 Mei 2024, 8:00 am

PUTRAJAYA: Sejumlah 8,556 penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib tahun 2022 dengan tidak hadir kerja kesa­lahan tertinggi melibatkan 21.5 peratus atau 1,839 orang daripada keseluruhan kesalahan direkodkan dalam tempoh tersebut.

Sebanyak 3.19 peratus atau 273 lagi dikenakan tindakan ke­ra­na salah guna dadah diikuti 1.64 peratus atau 140 orang kera­na salah guna kuasa serta rasuah.

Dalam tempoh sama, seramai 493 pegawai kerajaan dibuang kerja berbanding 165 orang pada tahun 2020 dan 239 pada tahun 2021 menjadikan jumlah keseluruhan penjawat awam dibuang kerja dalam tempoh tiga tahun seramai 897 orang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, apabila Dasar Pemisah dilaksa­nakan pada 2015, seramai 3,238 pegawai awam memperoleh penilaian prestasi bawah 60 peratus yang dikategori sebagai pegawai berprestasi rendah.

“Kelompok kecil ini sebenarnya tidak mencerminkan keseluruhan prestasi penjawat awam yang rata-ratanya me­nunjukkan komitmen tinggi terhadap setiap tugasan. Tetapi, saya akui penjawat awam boleh meningkatkan lagi perkhidmatan mereka ke tahap yang lebih baik.

“Namun, isu pegawai berprestasi rendah akan tetap menjadi keutamaan kerajaan bagi membolehkan hanya pegawai yang benar-benar mempunyai kesungguhan da­lam memberi khidmat yang terbaik untuk kekal berkhidmat,” kata beliau ketika ditemui baru-baru ini.

MENEPIS

Susulan itu, Mohd. Zuki menepis dakwaan bahawa integriti penjawat awam sedang ‘tenat’ atau tidak berdaya kerana jumlah penjawat awam terlibat kesalahan rasuah adalah terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan 1.48 juta penjawat awam.

Mohd. Zuki berkata, sabitan kesalahan penjawat awam dalam kes rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) pada 2020 hanya 74 orang diikuti 2021 (70 orang) dan 2022 (21 orang).

“Ini menunjukkan penjawat awam masih mengamalkan budaya kerja berintegriti bagi memastikan tatakelola yang baik dan telus dalam perkhidmatan awam. Namun, kerajaan memandang serius terhadap kumpulan kecil ini yang boleh menjadi perosak imej perkhid­matan awam dan tidak akan bertolak ansur dengan salah laku melibatkan integriti,” katanya.

Kata beliau, usaha memastikan integriti semua penjawat awam berada di tahap terbaik dan perkara itu akan dipantau berterusan mengambil kira komitmen semua pihak dalam ekosistem tatakelola perkhidmatan awam.

Jelasnya, kerajaan turut menubuhkan ­Jawatankuasa Khas Kabinet ­Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipe­nge­rusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diurus oleh SPRM bagi menangani kelemahan yang menyebabkan kepada ketirisan, pembaziran dana kerajaan, salah guna kuasa, penyelewe­ngan dan rasuah.
AGENSI

Katanya, unit integriti setiap kementerian, jabatan dan agensi diberi peranan lebih besar ketika ini berbanding dahulu yang lebih menumpukan kepada aduan dan siasatan dalaman berkaitan isu integriti.

“Salah satu tapisan pen­ting bagi pelantikan seseorang ke dalam perkhidmatan awam ialah calon yang bersih, bebas rekod jenayah dan dadah. Apabila melaporkan diri, mereka wajib hadir Program Transformasi Minda.

“Salah satu modul diterapkan adalah memberi pendedahan serta penyesuaian minda pegawai mengenai peraturan asas perkhidmatan awam serta pembentukan jati diri berdasarkan budaya kerja kelas pertama,” katanya. – UTUSAN

Ulasan