Ada 900,000 penagih dadah di Malaysia





Ada 900,000 penagih dadah di Malaysia
ANTARA dadah yang dirampas polis selepas menumpaskan sindiket pengedaran di Selangor pada 29 April lalu. - UTUSAN/AFIQ RAZAL
Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
11 Mei 2024, 7:08 am

PUTRAJAYA: Dianggarkan sejumlah 873,156 penagih dadah dipercayai terjebak dengan kes penyalahgunaan bahan terlarang itu di negara ini yang dikesan tahun lalu.

Jumlah itu berdasarkan nisbah setiap penagih yang menerima rawatan dengan menganggarkan ada lima lagi orang terlibat sama tetapi belum mendapatkan pemulihan daripada gejala berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, anggaran itu adalah mengikut unjuran dikeluarkan Laporan Dadah Dunia 2023 terbitan Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC).

Kata beliau, jumlah penagih yang direkodkan di negara ini pada tahun lalu adalah seramai 145,526 orang, iaitu meningkat seramai 8,350 orang berbanding 137,176 penagih pada tahun 2022 dan 123,139 orang pada 2021.

“Daripada jumlah yang direkodkan pada tahun lalu, kaum Melayu paling ramai dalam kalangan penagih iaitu 111,284 orang atau meliputi 76 peratus dengan golongan belia antara 19 hingga 39 tahun paling tinggi terjebak meliputi 90,520 orang.

“Golongan penagih berulang mencatatkan seramai 65,534 orang berbanding 79,992 kes penagih baharu, namun hanya 24,168 penagih bersetuju mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan AADK secara sukarela,” katanya, baru-baru ini.


Sutekno berkata, Johor, Kedah dan Kelantan merekodkan tiga negeri tertinggi yang dikesan penyalahgunaan dadah iaitu masing-masing 15,940 kes, 13,974 kes dan 13,915 kes.

Katanya, terdapat satu kes melibatkan kanak-kanak seawal usia sembilan tahun didapati terjebak dengan gejala itu kerana dipengaruhi ibu bapa sendiri yang menjadi penagih.

Kata beliau, mereka yang dikesan mengambil dadah bukan hanya dalam kalangan tidak bersekolah, tetapi golongan terpelajar turut terpengaruh dengan sejumlah 3,409 orang dikesan yang memiliki sekurang-kurangnya diploma termasuk doktor falsafah (PhD).

Walaupun jumlahnya tidak ramai, golongan penjawat awam turut dikesan mengambil dadah iaitu seramai 932 orang dengan paling tinggi adalah mereka yang menganggur (39,437 orang) diikuti pekerja swasta (37,923 orang).

“Golongan penagih ini mengakui punca utama mereka terjebak adalah disebabkan pengaruh kawan, tekanan hidup dan perasaan ingin tahu.

“Ada juga mereka mengambil dadah kerana ghairah mahu melangsingkan badan, bagi ‘mengubati’ rindu selain atas faktor seks,” katanya.

Menurut Sutekno, dadah stimulan jenis Amphetamin (ATS) paling tinggi digunakan oleh penagih dadah di negara ini meliputi Methamphetamine (Crystalline) atau dikenali sebagai syabu, ice dan batu.

Dadah jenis Methamphetamine berbentuk tablet seperti pil kuda, Yaba, Yama dan pil Bom turut digunakan selain Ectacy dan Amphetamine

“Penggunaan stimulan jenis Amphetamin secara berlebihan boleh mengakibatkan kejangan otot,serangan jantung, koma dan kematian.

“Kesan kepada masalah sosial kepada penagih dadah jenis ini boleh meruntuhkan institusi keluarga dan membawa masalah dalam masyarakat seperti jenayah, pemulauan dan sengketa angkara ketirisan wang disebabkan kebergantungan terhadap dadah,” katanya. – UTUSAN

Ulasan